Kenapa perlu pilih-pilih agama?



Seorang gadis bertanya kepada seorang pendakwah,
“Kenapa kita perlu bertegang urat, mendabik dada, seolah-olah hanya agama kita yang betul? Kenapa tidak perlu ambil apa yang baik, buang yang tidak baik dalam setiap agama dan kita lahirkan satu agama yang baru,jadikan agama yang sempurna dan tidak ada cacat-cela.”
Orang ramai bersorak dan bertepuk tangan tanda menyokong kenyataan gadis tersebut.
Dengan tenang pendakwah itu menjawab,
“Ya, satu kenyataan yang bagus, tapi siapakah yang layak untuk mengadili bahawa sesuatu perkara itu baik atau buruk? Di Amerika, memakai skirt mini adalah biasa, di India dan Malaysia ia bukanlah satu kebiasaan. Di Netherland, ganja dibenarkan untuk dijual di tempat-tempat awam, tetapi tidak di Amerika, Singapura dan China. Pelacuran adalah dihalalkan bagi penduduk di Thailand dan Belanda dan tidak di negara di Timur Tengah, Malaysia dan Singapura. Jadi, bolehkah anda mengadili Negara manakah yang telah menggubal undang-undang yang paling bagus dan tepat?
                Jadi untuk menjawab persoalan ini, kita hendaklah mengetahui siapakah yang paling tahu apa yang baik, atau buruk bagi setiap ciptaan atau alat? Sudah tentulah jawapannya si pereka, si pencipta atau si pengeluar. Jadi dalam kontek manusia, ialahTuhan.
                Jadi bagaimana untuk mencari Tuhan? Jadi mestilah dengan mencari agama yang betul, yang betul-betul membawa kepada Tuhan. Jalan yang salah tentu tidak akan membawa anda kepada jalan yang betul.
Timbul pula persoalan, bagaimana untuk mencari agama yang betul? Agama yang betul sudah tentu mempunyai kata-kata Tuhan.  Kata-kata Tuhan mestilah betul dan tepat dan tidak sama sekali mengandungi kesalahan kecil dan besar. Kata-kata Tuhan juga mestilah tidak mengandungi sebarang perkara yang bertentangan dengan fakta yang telah terbukti.  Mustahil bagi Tuhan untuk tidak mengetahui hakikat sebenar makhlukNya. 
Jadi dimanakah untuk kita menyelidik kata-kata Tuhan? Sudah tentu melalui kitab suci dan doktrin-doktrin. Dalam agama Hindu, mereka mempunyai Kitab Veda, Kristian mempunyai Bible, Yahudi ada kitab Torah dan bagi orang Islam seperti saya, Kitab Suci Al-Qurán, The do’s  and don’ts.
                 Tapi Alhamdulillah, sepanjang saya menjadi seorang Muslim, saya tidak pernah menjumpai sepatah ayat pun mempunyai kesalahan saintifik di dalam Al-Qurán malahan Al-Qurán telah membuktikan bahawa semua fakta yang telah di kemukakan adalah menepati dengan fakta yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.
Contohnya melalui :
Surah Anbiya, Surah 21,ayat ke-30 -fakta mengenai Teori Bigbang
Surah An-Naziát, Surah 79, ayat ke-32, Gunung sebagai pasak untuk menstabilkan bumi
Surah Ar-Ra’ad Surah 13 Ayat ke-2- Langit tinggi tidak bertiang.
dan, Surah Nur, Surah 24, Ayat 43,
Surah Rum, Surah 30,Ayat 48,
Surah Al-Zumar, Surah 39, Ayat 21,
Surah Muminun, Surah 23, Ayat 18- mengenai kitaran hujan.
Surah Al-Furqan Surah 25, Ayat 53- lautan yang mengandungi air masin dan air tawar dan tidak bercampur antara satu sama lain.

Dan beribu lagi fakta yang ternyata terkehadapan berbanding ilmu yang ada pada 1400 tahun dahulu. Yang lagi penting, fakta ini tidak pernah salah dan telah terbukti benar.
Dan katalah bahawa Allah itu Satu, Allah itu tumpuan bagi sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Tidak Dia beranak dan tidak pula dia Diperanakkan, dan tiada pun yang serupa denganNya.

P/S: Artikel ini diambil dan diubahsuai dari ceramah Dr. Zakir Naik.


               
               

               





Kenapa tulis blog?

Dah lama tak tulis post baru. Memang saya sibuk sikit akhir-akhir  ni. Banyak idea yang nak dikeluarkan tapi banyak pula tak jadi nak di post. Mungkin sebab saya fikir post itu tak penting dan banyak lagi perkara yang boleh difikir bersama.

Memang menulis ni banyak kebaikan. Lagipun saya tulis blog ni secara suka-suka. Langsung tak bermaksud untuk memalukan siapa-siapa, jauh lagi nak berbahas tentang perkara yang belum tentu betulnya. Sebab sekarang ni ramai yang nak tulis blog pasal politik. Memang blog politik penting untuk mengimbangkan antara media yang dikawal oleh kerajaan dengan media baru. Saya tidak membantah kerajaan untuk menapis bahan-bahan berita,Kawalan bahan-bahan berita penting, mengambil dari situasi yang berlaku di Indonesia, kita boleh tengok kerajaan mereka langsung tidak boleh mengawal media-media mereka. Padahal media mereka lantang mempropagandakan isu-isu untuk melaga-lagakan negara Indonesia dengan Malaysia.

Bayangkan kalau media-media kita pun sibuk memukul canang untuk membelasah Indonesia, maka sudah tentu haru-biru jadinya. Tapi masalah timbul pula bila kawalan bahan berita berlaku, media telah disalahgunakan untuk memburukkan individu-individu lain yang tidak "masuk hati" dengan kerajaan. Dan lagi satu, media digunakan untuk menutup terus kelemahan-kelamahan yang dilakukan kerajaan. Jadi sudah tentu rakyat tidak boleh menilai prestasi kerajaan dari mata yang sebenar. Dari surah Al-Ma'idah, ayat 8:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Balik semula hal menulis blog, saya sebenarnya sangat tak hebat dalam menulis private diary. Bagi saya, biarlah diari itu hanya boleh dibaca oleh saya seseorang dan individu-individu yang saya kehendaki. Pandangan saya, kalau nak beritahu detail buat apa hari ni, makan di mana, dan apa yang nak dilakukan esok, agak berisiko. Kita perlu berjaga-jaga, tidak semua orang hanya masuk ke blog dan membaca sahaja.

Sebab itu blog saya banyak memaparkan tentang isu-isu semasa dari kacamata saya. Seboleh-bolehnya isu itu saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, mungkin untuk menjaga kualiti sesuatu post. Selain tu, blog ni banyak menceritakan tentang kesimpulan yang saya buat sepanjang menjadi seorang Muslim. Ternyata agama yang hebat langsung anda tidak akan bertemu sebarang kecacatan. Dalam surah An-Nisa', ayat 4:

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Akhirnya, maka bersalahlah saya kalau blog saya ini akan melekakan orang lain untuk mengigati diriNya. Mungkin kata-kata saya ini perlu difikir bagi semua penulis blog, anggaplah blog ini aset kepada kita untuk bertemu denganNya kelak. Allah akan menghitung sebarang perlakuan kita di dunia. Maka kepada wartawan-wartawan berita, tugas anda sebenarnya jauh lebih berat dari yang anda fikirkan. Adakah kita menganggap menulis blog ini tidak ada kaitan denganNya? Kita silap.

Senior





Semua orang mesti ada pengalaman dengan senior kan? Tipulah kalau tak ada. Senior ni takrif dia kira orang yang lagi lama dari kitalah. Selalunya mereka ni dari batch yang masuk sebelum kita. Dalam tentera, senioriti ni memang penting sebab senior akan bertanggungjawab terhadap junior mereka dan sebarang kesalahan akan ditanggung oleh senior. Dalam peperangan kalau tak ada pemimpin, maka haru birulah pasukan tu.

Aku sebenarnya tak banyak pengalaman dengan orang yang dinamakan "senior" ni, tapi bukannya tak ada langsung. Bagi aku senioriti ni penting bagi satu-satu organisasi. Tak kiralah, dekat asrama ke,  sekolah ke, pejabat ataupun pusat latihan.

Sebenarnya aku sejak sekolah rendah memang tak ada senior.
Aku pun pelik. Kenapalah aku selalu masuk ke sekolah yang baru-baru nak tubuh. Darjah satu, aku jadi batch pertama, masuk SMKA Tangok (sekarang SMKA Tok Bachok) pun aku jadi budak-budak pioneer (peneraju). Jadi, kalau bab-bab senior ni memang aku tak tahulah sangat.

Tapi bila aku masuk KISAS, barulah aku jumpa senior. Tapi al-maklumlah, sekolah tu manalah ada buli buat benda-benda tak elok. Tapi baguslah sebab senior sana memang kalau marah pun kiranya bab-bab yang berguna dan kira boleh diterima akal. Marah sebab tak solat di surau, tak bagi salam dengan cikgu-cikgu dan yang orang yang lagi tua, lambat bergerak ke sekolah, ponteng kelas "prep". Kiranya mereka aku anggap sebagai golongan yang bertanggungjawablah kiranya, marah sebab tak mahu junior mereka jadi tak tentu pasal. Tu yang nak maki pun tak jadi nak maki.

Tapi bila dengar pengalaman kawan-kawan aku yang datang dari sekolah lain, lain pula cerita. Memang kejam sikit, tapi seronok dan lawak juga. Ada yang kena tiup lampu sampai padam, kena tiup kipas sampai berpusing laju-laju, kena basuh baju dan siap seterika sekali. Tapi yang paling aku tak boleh terima, ada senior bagi duit 50 sen dekat kawan aku ni. Yang mencabar mental dan fizikalnya bila senior tu suruh beli Air Milo Ais, Snek, Gula-gula, Keropok goreng, nasi lemak dengan duit banyak tu. Siap suruh bagi balik pula baki 30 sen. Jadi, faham-faham sajalah. Maknanya kawan akulah yang kena belanja senior tu. Kasihan.

Seorang lagi cerita kawan aku masa dia jadi senior. Masa tu tak ada duit nak buat telefon awek dekat telefon awam. Jadi dengan selambanya kawan aku ni buat pengumuman suruh semua wakil bilik kutip duit dari junior 10 sen seorang kononnya untuk program. Junior yang tak tahu apa pakat bayarlah duit tu. Jadi, bergayutlah kawan aku ni sampai malam hasil duit "program" tu.

Masuk universiti, masuk PALAPES, bab senioriti memang ditekankan. Kalau disuruh buat tekan tubi 10 kali tanpa sebab, lepas tu tanya nama dan asal dan berambus, memang asam garam. Disuruh menyanyi, berlakon, mengorat, lompat katak, lompat babi, tepuk lalat dan menari  depan senior, memang tak boleh lepas. Walaupun macam tu, tapi sekurang-kurangnya ada sisi positif. Junior jadi lebih berani dan kurang segan kalau bab-bab berdiri depan ramai. Alhamdulillah, sekarang kalau suruh aku bercakap depan orang ramai pun aku boleh, walaupun sedikit gugup pada mula-mulanya. Kalau sebelum ni, aku nak bercakap depan kelas pun dah sejuk tangan, tapi lepas masuk latihan, aku pula terhegeh-hegeh ke depan.

Kesimpulannya, senioriti ni boleh jadi benda yang positif, boleh  juga jadi negatif.  Kalau dalam asrama pun, senior memang kena tanggung segala kesalahan junior mereka. Jadi  untuk menghormati senior supaya keadaan jadi lebih baik dan terkawal, sangatlah digalakkan. Tapi kalau sudah sampai tahap makan duit haram, cepatlah-cepatlah bertaubat dan minta halal balik dengan junior tu. Kalau senior yang mengajar junior buat benda-benda yang tak elok; hisap rokok , hisap dadah, berzina, sesungguhnya senior tu akan dapat saham bagi setiap kejahatan yang dilakukan oleh junior tersebut sampai ke akhir hayat.

Perlukah di tangkap?




Sekarang heboh cerita pasal penangkapan Dr Asri. Kebanyakan blog-blog yang saya kunjungi melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan JAIS yang kelihatan cepat dalam membuat tangkapan terhadap Dr Asri. Sebabnya senang,tidak ada tauliah dari JAIS untuk menyampaikan ceramah di negeri Selangor.

Dr Asri adalah seorang bekas mufti di negeri Perlis dan sekarang menjadi pensyarah di USM.  Hairan juga dengan status yang begitu hebat, tauliah itu masih menjadi ukuran. Saya merupakan pengkagum ceramah-ceramah beliau yang kelihatan begitu berani dalam memberikan pandangan. Bukan kerana dia bekas pelajar Kolej Islam Klang (sebab ada juga bekas KIK yang jadi songsang) tapi kerana beliau ternyata mempunyai pendirian yang teguh serta dikagumi oleh pelbagai pihak.

Ahli-ahli politik, tidak kira dari kerajaan dan pembangkang, sentiasa menjadikan kata-kata Dr Asri sebagai teguran yang membina bagi menjadikan Islam terus subur di bumi Malaysia yang dicintai ini.. Walaupun beliau sentiasa dipalit dengan kontroversi, tapi saya melihat itu adalah cabaran bagi seorang yang menyokong kepada pembaharuan, yang sentiasa menyeru untuk kembali kepada Al-Qurán dan Sunnah, seruan kepada membebaskan diri daripada amalan yang tidak disandarkan kepada Islam.

Adakah ini ada kaitan dengan Persatuan Peguam Syarie yang menghantar satu memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyatakan bantahan dengan cadangan perlantikan Dr Asri sebagai Yang Dipertua YADIM (Yayasan Dakwah Islam Malaysia)? Ternyata dilihat memorandum itu mengandungi tuduhan yang tidak berasas serta tidak dibuktikan dengan bukti yang konkrit. Malu melihat peguam syarie yang kononnya mempunyai tahap profesionalisma yang tinggi tetapi menyatakan tuduhan dengan tanpa asas yang kukuh.

Cadangan kepada JAIS, kenapa tidak ditangkap sahaja aktivis Sister In Islam yang dilihat terlalu mempersoalkan ajaran-ajaran Islam sehinggakan menganggap memakai tudung adalah bukan dari ajaran Islam. Tangkap juga si Raja Petra yang begitu hebat dalam mengeluarkan pendapat secara membuta-tuli dengan hanya membaca tafsir Al-Qurán dan hadis serta logik semata-mata. Sambil-sambil itu, pergilah tangkap sekali pemuda-pemudi Islam yang tunggang terbalik minum arak di disco-disco dan kelab-kelab malam di Selangor. Tangkap orang Islam yang dengan tanpa segan dan silu beratur untuk membeli tiket nombor ekor di premis-premis judi.

Itu dilihat ternyata lebih "adil" daripada menangkap seorang ulamak yang mengajar ilmu agama.



Tapi ada juga yang semacam gembira dengan penangkapan Dr Asri (walaupun tidak dinyatakan dengan terang), contohnya blog si Penulis Muda yang kononnya bukan Syiah, walhal bertimbun-timbun doktrin Syiah di dalamnya. Saya berani kata, pengunjung blog itu tidak akan sama sekali menjumpai Si penulis muda ini memuji Saidina Umar dan Saidatina Aisyah walaupun blognya penuh dengan unsur-unsur agama. Standard seorang syiah, apalah sangat. Tapi peminatnya bukan sedikit tahu.

Tajamnya suara wanita

Pernah seorang senior aku cakap, suara wanita itu lembut, tapi tajam. Berbanar-banar sebenarnya aku memikirkan maksud ayat . Tapi bila difikir dalam-dalam, memang tepat lagi betul.


Aku, kalau bagi 5 orang lelaki lawan dengan seorang perempuan membebel kepada aku, aku lagi sanggup dengar 5 orang lelaki membebel daripada seorang perempuan. Suara perempuan, lagi halus, lagi menyakitkan untuk di dengar bila membebel. Kalau tak sabar, memang boleh jadi bengang.


Chopp, senior aku tu perempuan.


Najis haram Jadah

Kawan aku ajak pergi minum malam tu macam biasa. Aku memang kalau tiap-tiap hujung minggu, mula pukul 11 malam, aku mesti keluar minum. Biasalah, bila dapat lesen keluar malam, tengah-tengah malam jadi susah nak tidur. Ada saja aktiviti malam nak di buat.

Malam ini lain jadinya. Minum malam yang selalunya banyak ketawa, jadi malam yang serius. Kalau tengok muka aku masa tu, mungkin dah boleh jadi pelakon Gerak Khas. Al-Kisahnya mengenai sahabat aku yang mengadu tentang iparnya yang sudah ketagih Pil Kuda.

Siapa tak susah hati kalau adik yang disayang-sayang, suaminya jadi penagih dadah. Aku tahu, kalau dah jadi tahi dadah, kerja malas, boleh mencuri pula tu. Tak payah di nafi lagi, memang kebanyakan si tahi dadah ni panjang tangan. Sahabat aku tu cerita yang iparnya dah mula mencuri di kawasan-kawasan sekitar sampai hilang semua wayar-wayar tembaga dan barang-barang yang diperbuat daripada besi.

Aku pun dah jadi bingung, rasa berat mata memandang walhal berat lagi bahu sahabatku yang memikul. Aku pun pening apa perlu di buat. Lapor poliskah? Masuk U-Serenti pula nanti. Nak dipukul? Selesaikah masalah? Cerita ni perlu di jadi iktibar lebih-lebih lagi kepada semua lelaki. Jauhilah si najis dadah walau dalam bentuk apa pun. Yang pil ke,yang serbuk, yang cair, yang kecik, yang besar, hasilnya tetap sama, "si mayat hidup".

Hilangkan Prasangka


Baru-baru ni ribut melanda Kelantan, Banyak jajahan yang terlibat serta melibatkan satu nyawa seorang gadis. Nampak orang kita trauma dengan apa yang yang berlaku. Tapi bagi pendapat aku, Allah bagi "secebis" malapetaka supaya kita sedar, ramai lagi yang masih jauh kurang bernasib seperti sahabat kita di Sumatera sana.


Lupakan sekejap sengketa yang dilakukan oleh sebahagian si pendek akal. Hubungan darah yang tak mungkin terputus tetap kukuh terikat.  Sokongan padu perlu di beri kepada kerajaan kita yang menghantar sebahagian tentera untuk menolong saudara kita di sana.


Mungkin juga, Allah takdirkan begini supaya mereka di seberang sedar, nilai persaudaraan kita lebih dari sekadar batik dan tarian Bali. Insyallah.