Targetku


Kerja makin banyak. Tambah lagi dua, tiga tempat lagi yang nak kena di audit. Dengar memang sibuk, tapi memang tulah kehidupan di firma audit. Lagi-lagi kalau awal tahun. Tapi bila tak ada kerja tu, memang betul-betul tak ada. Sampai boleh bosan dan banyak buat "ketupat" bila masuk pejabat.

Saya pula dapat client yang bermasalah. Nak suruh hantar fail akaun pun susah. Macamanalah nak buat kerja kalau macam ni. Saya perlu kerja. Memang saya tahu, dengan gaji yang seciput ni, saya nak buat kumpul duit kahwin pun tak lepas. Tapi itulah pengorbanan. Saya boleh minta di tempat kerja yang tawarkan gaji yang lebih tinggi, tapi demi untuk sesuatu yang bernama "pengetahuan", terpaksalah saya bermula dari bawah. Semoga target saya tercapai.

Politik yang @#$%

Politik, bertujuan untuk membela rakyat. Tapi bila politik menganiayai rakyat, macamana? Jika hak dinafi, peluang bersuara ditutup, agama makin di cabar, terlalu menjaga hati orang lain yang akhirnya memudaratkan bangsa dan agama, jadi di mana akhirnya politik ini?

Sakit hati melihat si politikus berpura-pura, boleh jadi si kaki botol dan penari dangdut, dalam masa yang sama boleh cakap pasal agama. Merayu rakyat marhain berjimat cermat, tukar cara hidup, tapi mereka? Majlis hari jadi anak-anak pula besar bagai raksasa. Oh, betapa aku impi kisah Saidina Umar r.a. berulang lagi....

Jarum penimbang yang tak bergerak-gerak



Tadi saya baru lepas timbang berat badan saya. Hai, masih lagi di takuk lama. Jarum tak bergerak sedikit pun. Mungkin perlu usaha lebih. Mungkin dari 3 pusingan taman berjogging, perlu ditambah 20,30 pusingan lagi (alamatnya sampai ke ICUlah aku)

Gelora nafsu saya di pejabat kadang-kadang tak mampu di tahan. Minum petang dengan kuih yang menyelerakan, memang betul-betul membuat hati tergoda. Di tambah pula dengan kebanyakan kuih-kuih yang bergoreng, lagilah menarik laju saya ke pinggan kuih. Kuih cek mek (kuih tradisi Kelantan), karipap sardin, keropok lekor dan cucur pisang seperti memanggil-manggil apabila di hidang.

Saya terbaca satu artikel, kebanyakan orang yang makan, bukan disebabkan mereka lapar, tapi disebabkan mereka hanya saja-saja mahu makan. Terkena atas kepala sendiri. Adoiiiii!!!

Sahabat yang hebat



Seribu tahniah kepada sahabat-sahabat, Imran Koyube dan gengnya tabloid "IluvIslam" memang sangat dinanti peminat-peminatnya. Memang kamu semua orang yang hebat. Bermula hanya dari perbincangan, kemudian berkembang menjadi semakin gah. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Itulah lumrah alam. Ada sahabat yang duduk terlalu tinggi sehingga tidak tercapai walhal hujung sepatunya sekalipun. Tetapi ada pula sahabat yang jatuh ke lubang yang terlalu dalam hingga walau dihulur tali yang berkilo-kilo meter panjangnya pun tak dapat dicapai mereka dek kerana terlalu mengikuti hawa nafsu.

Tapi kita di sini teruskan usaha yang kecil ini (mungkin langsung tidak dipandang hujung mata sekalipun). Umpama burung kecil yang membawa air ke dalam mulut sewaktu cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s., walaupun tidak mampu memadamkan api yang marak itu, tetapi usaha itulah yang dijadikan bekalan bila disoal di akhirat kelak.

So sorry

Saya memegang prinsip, "Jika anda tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat, jangan pula anda memberi kesusahan kepada mereka." Maksudnya jika kita rasakan kita tidak mampu untuk menjadi insan yang baik, serta sempurna (mungkin juga seorang yang warak), tetapi jangan pula kita cuba untuk menyesatkan orang lain. Mungkin kita yang malas solat (nauzubillah), tapi jangan halang orang lain untuk bersolat atau mempersendakan rakan yang baru berjinak-jinak untuk solat. Jika seseorang menderma kepada orang miskin, jangan pula kita mengejek atau mempersenda (kononnya mungkin mereka hanya ingin menunjuk), tetapi doakan semoga mereka mendapat kebaikan yang melimpah hasil amalan mereka.

Rasa bersalahlah kepada kepada diri kalau ejekan kita itu akan membuatkan orang lain untuk berhenti melakukan kebaikan.

Tidak rugi kita berbuat baik, tapi kita pasti akan menyesal jika melakukan keburukan.

Penyakit

Harga gula dah naik sikit. Tak banyak mana pun. Hanya 20 sen. Rasanya tak perlu peniaga nak sibuk-sibuk naikkan harga air teh panas. Tapi nak untung punya pasal, macam-macam boleh jadi. Padahal teh panas dah sampai harga seringgit pun satu gelas kecik, kalau naik lagi, terpaksa pesan air kosong sajalah nampaknya. Pening-pening.

Lagipun bagus rasanya harga gula naik pun, mungkin, insyallah (walaupun kita tahu orang Malaysia ni jarang minum tawar-tawar) boleh mengurangkan penyakit kencing manis. Serius, penyakit kencing manis ni memang menakutkan. Rasanya sama bahaya dengan kanser. Kalau kanser payudara, kalau dah tahap kronik kena potong payudara, kalau kencing manis, boleh sampai potong kaki sampaikan dengan betis-betis pun hilang.

Darah tinggi pun lebih kurang sama, kalau dah sampai tahap kronik, memang boleh pitam. Masalahnya penyakit-penyakit ni boleh pergi ke jantung, buah pinggan dan angin ahmar. Kalau dah berangkai macam tu (kalau masyarakat kita, cukup satu pakej), memang terpaksa makan ubatlah sampai akhir hayatlah jawabnya.

Jadi, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan. Kurangkan makan nasi, banyakkan sayuran (padahal sayur banyak yang disembur racun perosak serta memudaratkan), kurangkan makanan segera, kurangkan gula dan selalu bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu (cheewah, macam doktor pula aku). Apa lagi yang saya nak cakap ni, dan jangan lupa senyum-senyum selalu. Tenangkan fikiran, selalu cuba mendekatkan diri kepada Tuhan dan hormati sesama manusia (walaupun manusia sekarang tidaklah sesopan mana).

Si tangan kacang

Jika kamu sedia meminta, kenapa tidak aku sedia memberi? Jangan di tambah luka di hatiku lagi. Betapa aku telah lihat betapa banyak mutiara yang telah tumpah disebabkan kamu. Jangan kamu biarkan ia berlaku lagi.

Mungkin kamu melihat aku tenang, tetapi didadaku hanya api yang menyala. Bukan tidak sudi memberi, tapi pemberianku mesti disertai dengan rasa hormat. Apa salah meminta izin? Bakhil sangatkah aku?

Walhal telahku tahu masa silammu, betapa orang yang ku sayangi menangis keranamu, tolonglah jangan lakukannya lagi. Jika kamu tidak mahu menyesal selama-lamanya.