Hajat yang tidak kesampaian


Ayah saya pulang dari kerja. Saya yang baru darjah 1 terus memeluk ayah.  Saya mengintai-ngintai di dalam kereta, tercari mainan yang saya inginkan. Ayah saya kata dia lupa hendak belikan. Saya terus berlari ke bilik dan menutup pintu. Esoknya ayah saya pulang lagi dari kerja, sambil membawa mainan. Tak sampai dua hari, mainan tu sudah pun patah.

Saya merengek-rengek meminta ayah membelikan jam tangan. Saya mengimpikan sebuah jam tangan digital. Ayah saya hanya mendiamkan diri. Selepas balik dari masjid, bapa saya menghulurkan bungkusan. Seutas jam, tapi jam yang berjarum (analog), saya hanya pakai sekali dan selepas itu disepahkan merata-rata.

Darjah 5, saya menginginkan sebuah basikal. Saya merengek-rengek meminta. Akhirnya, ayah saya belikan kepada saya sebuah basikal. Habis darjah enam, basikal itu ditinggalkan di bawah garaj, dibiarkan berkarat. Akhirnya ayah saya memberikan kepada orang lain.

Tingkatan 5, ayah saya datang ke sekolah untuk hari bersama guru dan bapa. Ayah saya diam mendengar bebelan guru yang mengatakan saya sangat malas belajar serta keputusan peperiksaan yang sangat teruk. Pertama kali saya melihat air mata ayah saya mengalir, tetapi pantas di kesat.

Ayah saya di katil hospital, dan saya menunjukkan borang tawaran ke universiti. Ayah saya tersenyum dan menyuruh saya belajar dengan bersungguh-sungguh. Seminggu selepas mendaftar di universiti, ayah saya meninggalkan saya selama-lamanya.

31 Januari 2010: Mendapat gaji pertama selepas mendapat kerja, betapa dahulu saya berjanji kepada ayah yang saya akan membelikan segala-gala yang diminta apabila mendapat gaji pertama saya. Tapi, semua itu tidak mungkin akan berlaku.Ya, saya sudah tidak terdaya untuk menulis lagi. Al-Fatihah..