Sejak akhir-akhir ni sibuk sangat. Banyak akaun syarikat yang perlu di audit. Tapi alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik, walaupun ada lagi kerja yang tertangguh.
Walau sibuk macamana pun saya tetap mengambil sedikit masa untuk mengetahui isu-isu semasa. Kalau tak sempat belek surat khabar sewaktu di pejabat, buka internet di rumah pun jadilah. Sekurang-kurangnya minda ini tidak tertutup. Tersumbat.
Tetapi apabila meniti dunia politik tanahair, hati jadi kelu. Jadi geram. Geram dengan perangai orang Melayu yang masih ramai belum matang berpolitik. Macam sudah menjadi budaya politik kita sebegitu. Terlalu bias. Kalau yang bercakap itu bukan dari kalangan mereka, maka perkara itu di tentang habis-habisan walaupun perkara itu ternyata memberi kebaikan. Jika sesuatu isu datang dari pihak mereka, maka akan di bela bagai nak rak. Bagai nak tercabut anak tekak.
Contohnya judi bola sepak. Kalaulah perkara ini dicadangkan oleh pihak Pakatan, saya jamin, benda ini akan berlarutan sampai Piala Dunia 2014. Tapi disebabkan perkara ini datangnya dari pihak Barisan, masing-masing membela atau menikus. Ulama di sana bagai tidak berani menegur.
Sama juga di pihak Pakatan, apabila orang bukan Islam dipihaknya kelihatan menafi hak orang Islam dan orang Melayu, meraka juga bagaikan menikus. Kecil seperti bakteria. Semuanya disebabkan mereka di pihak Pakatan.
Tentang perpaduan UMNO dan PAS, itu sebenarnya adalah retorik semata-mata. Tidak semestinya orang Melayu akan lemah jika UMNO dan PAS tidak bersatu. Tetapi yang menjadikan orang Melayu lemah adalah disebabkan orang Melayu tidak berpakat dan bersatu dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan Melayu. Saya sangat berharap sebenarnya supaya UMNO dan PAS supaya tidak bersatu kerana mereka sebenarnya adalah kuasa pengimbang. Masing-masing mempunyai peranannya sendiri.
UMNO akan hancur jika bersatu dengan PAS kerana PAS sudah tidak mampu lagi untuk menegur keburukan UMNO dan juga sebaliknya. Ini semua disebabkan oleh pemikiran "dia sek kita jadi kita mesti sokong walaupun salah". Pemikiran yang akhirnya akan merosakkan bangsa dan agama seterusnya.
Jadi ayuhlah bersatu dalam mempertahankan Islam, walau siapa kamu, kamu ada tanggungjawab yang tersendiri.