Semua orang mesti ada pengalaman dengan senior kan? Tipulah kalau tak ada. Senior ni takrif dia kira orang yang lagi lama dari kitalah. Selalunya mereka ni dari batch yang masuk sebelum kita. Dalam tentera, senioriti ni memang penting sebab senior akan bertanggungjawab terhadap junior mereka dan sebarang kesalahan akan ditanggung oleh senior. Dalam peperangan kalau tak ada pemimpin, maka haru birulah pasukan tu.
Aku sebenarnya tak banyak pengalaman dengan orang yang dinamakan "senior" ni, tapi bukannya tak ada langsung. Bagi aku senioriti ni penting bagi satu-satu organisasi. Tak kiralah, dekat asrama ke, sekolah ke, pejabat ataupun pusat latihan.
Sebenarnya aku sejak sekolah rendah memang tak ada senior.
Aku pun pelik. Kenapalah aku selalu masuk ke sekolah yang baru-baru nak tubuh. Darjah satu, aku jadi batch pertama, masuk SMKA Tangok (sekarang SMKA Tok Bachok) pun aku jadi budak-budak pioneer (peneraju). Jadi, kalau bab-bab senior ni memang aku tak tahulah sangat.
Tapi bila aku masuk KISAS, barulah aku jumpa senior. Tapi al-maklumlah, sekolah tu manalah ada buli buat benda-benda tak elok. Tapi baguslah sebab senior sana memang kalau marah pun kiranya bab-bab yang berguna dan kira boleh diterima akal. Marah sebab tak solat di surau, tak bagi salam dengan cikgu-cikgu dan yang orang yang lagi tua, lambat bergerak ke sekolah, ponteng kelas "prep". Kiranya mereka aku anggap sebagai golongan yang bertanggungjawablah kiranya, marah sebab tak mahu junior mereka jadi tak tentu pasal. Tu yang nak maki pun tak jadi nak maki.
Tapi bila dengar pengalaman kawan-kawan aku yang datang dari sekolah lain, lain pula cerita. Memang kejam sikit, tapi seronok dan lawak juga. Ada yang kena tiup lampu sampai padam, kena tiup kipas sampai berpusing laju-laju, kena basuh baju dan siap seterika sekali. Tapi yang paling aku tak boleh terima, ada senior bagi duit 50 sen dekat kawan aku ni. Yang mencabar mental dan fizikalnya bila senior tu suruh beli Air Milo Ais, Snek, Gula-gula, Keropok goreng, nasi lemak dengan duit banyak tu. Siap suruh bagi balik pula baki 30 sen. Jadi, faham-faham sajalah. Maknanya kawan akulah yang kena belanja senior tu. Kasihan.
Seorang lagi cerita kawan aku masa dia jadi senior. Masa tu tak ada duit nak buat telefon awek dekat telefon awam. Jadi dengan selambanya kawan aku ni buat pengumuman suruh semua wakil bilik kutip duit dari junior 10 sen seorang kononnya untuk program. Junior yang tak tahu apa pakat bayarlah duit tu. Jadi, bergayutlah kawan aku ni sampai malam hasil duit "program" tu.
Masuk universiti, masuk PALAPES, bab senioriti memang ditekankan. Kalau disuruh buat tekan tubi 10 kali tanpa sebab, lepas tu tanya nama dan asal dan berambus, memang asam garam. Disuruh menyanyi, berlakon, mengorat, lompat katak, lompat babi, tepuk lalat dan menari depan senior, memang tak boleh lepas. Walaupun macam tu, tapi sekurang-kurangnya ada sisi positif. Junior jadi lebih berani dan kurang segan kalau bab-bab berdiri depan ramai. Alhamdulillah, sekarang kalau suruh aku bercakap depan orang ramai pun aku boleh, walaupun sedikit gugup pada mula-mulanya. Kalau sebelum ni, aku nak bercakap depan kelas pun dah sejuk tangan, tapi lepas masuk latihan, aku pula terhegeh-hegeh ke depan.
Kesimpulannya, senioriti ni boleh jadi benda yang positif, boleh juga jadi negatif. Kalau dalam asrama pun, senior memang kena tanggung segala kesalahan junior mereka. Jadi untuk menghormati senior supaya keadaan jadi lebih baik dan terkawal, sangatlah digalakkan. Tapi kalau sudah sampai tahap makan duit haram, cepatlah-cepatlah bertaubat dan minta halal balik dengan junior tu. Kalau senior yang mengajar junior buat benda-benda yang tak elok; hisap rokok , hisap dadah, berzina, sesungguhnya senior tu akan dapat saham bagi setiap kejahatan yang dilakukan oleh junior tersebut sampai ke akhir hayat.
satu pendedahan yang benar.hehe..
bguih.
bagi gua benda ni patut dihapuskan dimana2 institusi terutamanya sekolah. Cermin diri sendiri dulu, kita nak melarang adakah kita sendiri menjauhi sesuatu yg kita larang tu.. ko pikir la sendiri. renung2kan dan selamat beramal..
tak perlu untuk jadi baik utk menyuruh orang lain berbuat kebaikan.
daripada diri tak baik menyuruh berbuat kejahatan