Kelantan menang lagi daaaa



Alhamdulillah, setelah puas aku jadi orang gila seorang diri dekat depan TV menjerit-jerit, akhirnya boleh juga Kelantan pergi ke final. Tapi yang tak tahannya jumpa balik dengan lawan tahun lepas, Negeri Sembilan. Silap-silap terbakar lagilah kerusi dekat Stadium Bukit Jalil. Tak baik agaknya mengata orang negeri sendiri, tapi dah memang kenyataan rasanya, tak boleh nak nafi dah. Orang dah kata jangan baling mercun, tapi si beruk-beruk tiga empat ekor di antara orang ramai dekat stadium tu masih lagi berdegil. (Jadi memang salah kamulah wahai beruk-beruk sekalian apabila orang negeri lain benci sangat dengan orang Kelantan).

Apa pun tahniah juga kepada pasukan Kedah, kamu semua memang main memang hebat, cuma tak ada rezeki. Tak apa, boleh cuba lagi tahun depan.(Walaupun mungkin Kelantan boleh pergi juga ke final tahun depan.hahahahaha. berlagak seh).

Jadi kepada kawan-kawan aku yang rasa poket dia tebal dan tak tahu nak buat apa,bolehlah taja aku pergi KL untuk tengok bola final akhir bulan ni. Yeeeehaaaa

Maher Zain sangat kacak?



Apa lagi yang boleh di katakan mengenai Maher Zain. Dengan lagu yang sungguh memukau, lirik yang begitu menusuk sehingga kadang-kadang tak sedar air mata mengalir. Itulah dia aura penyanyi berasal dari Sweden.

Apa yang aku tengok dari lagu Maher Zain, keikhlasan lirik begitu terzahir, lagi-lagi diiringi dengan lagu yang begitu catchy dan syahdu. Video klip "Inshallah" dilihat begitu menenangkan dengan bagaimana kehidupan manusia yang kucar-kacir apa bila hati sedia menyerahkan diri kepada Allah, menjadikan manusia mahu jadi insan yang lebih baik lantas meninggalkan perbuatan munkar.

Maher Zain pernah terlalai dalam hidupnya malahan mendapat peluang untuk bekerjasama dengan artis-artis Hollywood seperti Lady Gaga dan Akon dalam penerbitan lagu. Tetapi ternyata ketenangannya hanya di kecapi sewaktu kembali semula ke Sweden, dimana dia rasa lebih tenang berada di kalangan masyarakat Muslim dan mengamalkan segala ajaran-ajaran Islam. Kemudian beliau nekad untuk melakukan transformasi dalam hidup seterusnya dalam lagu-lagu beliau.

Pada pendapat aku, lagu-lagunya begitu mendalam kerana keikhlasan Maher Zain dalam meluahkan hatinya  kepada Maha Pencipta dan kekaguman Maher terhadap agama Islam. Kita, sebagai Muslim sepatutnya berterima kasih kepada beliau kerana sedikit sebanyak menggambarkan kepada bukan Islam agama Islam yang suci ini. Tidak mustahil kalau dia terus ikhlas, dia akan mampu untuk menulis lebih banyak lagi lagu-lagu yang menenangkan dan indah.

Aku pernah terkesan dengan nasihatnya sewaktu diwawancara iaitu apabila kita melakukan kesalahan, jangan kita malu untuk bersolat dan meminta keampunan kepada Allah s.w.t., kerana perasaan malu itu sebenarnya adalah bisikan Syaitan supaya kita terus jauh dari Allah s.w.t. Berapa ramai gadis-gadis dan pemuda-pemuda yang terjebak dalam maksiat meninggalkan solat kerana mereka berkata mereka terlalu banyak berdosa dan malu kepada Allah s.w.t. Nasihat itu terkandung dalam lagu hitsnya iaitu "Inshallah".

Kadang-kadang aku rasa pelik kenapa masih ada yang mendengar lagu Lady Gaga dan Adam Lampbert apabila kita sudah ada lagu Maher Zain?

Biduanita negara?

Semalam baca surat khabar. Terbelek tentang artis (terbelek ke memang aku sengaja? hohoho) Kadang-kadang baca tentang artis memang boleh jadi cerita kelakar. Oh, baru aku tahu setakat manalah pemikiran seorang artis. Selalunya artis wanitalah. Bila berdalih tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, mereka ni memang boleh jadi raja lawak.

Satu cerita tentang biduanita terkenal tanahair, Kak Pah montel bertahi lalat manis meriah di atas mukanya. Katanya, kasihan dengan rakan-rakannya yang tersepit selepas memakai tudung. Jadi sebab itu dia tidak mahu pakai tudung, takut nanti di pakai tudung kerana disuruh peminat, tetapi bukan kerana Allah. Jadi sekarang Kak Pah tak pakai tudung kerana siapa kalau semua peminatnya suruh pakai tudung? Takkan kerana Allah juga? Kasihan betul bila terbaca pemikiran yang sebegini.

Anak dah belajar di Madinah, dah nak menunaikan haji di Mekah pula tahun ni. Tapi pemikiran masih terbelakang. Katanya lagi, sekarang pun, Kak Pah tak pakai tudung, tapi Kak Pah tutup dengan rambut palsu. Jadi, rambut Kak Pah tetap terpelihara, bersinar-sinar dan lembut seperti baru, serta tanpa rambut yang terdedah kepada bukan mahram. Oh, jadinya memakai rambut palsu tak salah ke? Bukankah memakai rambut palsu seperti hukum menyambung rambut, tetap haram.

Mungkin juga Kak Pah pakai iktikad ulamak lain, ulamak yang lagi tajdid,  yang lagi banyak mengarang kitab, tak seperti aku yang belajar agama secara formal sampai sekolah menengah saja. Jadi tahu hanya setakat asas, tapi tak ambil PSI Lanjutan atau PQS Lanjutan. Chaittt. Kalau sendiri sesat, janganlah sesatkan orang lain pula. Pahhhhhhh..............

Back to School?

Hmmmm... termenung lama aku. Dalam memikirkan tentang benda ni. Perlukah aku mencuba? Tak salah agaknya. Lagipun aku memang sejak kecil macam ni. Masa depan yang hanyut tanpa perancangan. Dan semestinya perancangan aku yang aku atur asyik tak menjadi. Jadi, terpaksa aku susun balik hidup aku berdasarkan perubahan besar yang berlaku.

Aku pun tak sangka dapat pula ujian personaliti ni. Ramai juga kawan aku yang minta, tapi ramai juga yang tak dapat. Alhamdulillah, mungkin rezeki Allah nak bagi. Mungkin juga sebab nak uji aku samada aku mampu tak nak pikul tanggungjawab. Aku kena siap sedia. Aduss, apalah bala ujian personaliti ni. Kalau dah isi borang tu maknanya dah memang minatlah. Takkan isi borang sebab benci.

Adakah mungkin halatuju aku untuk menjadi pendidik menjadi kenyataan?

Hari pertama

 Pagi tu aku disuruh bangun awal. Mama awal-awal dah siapkan baju untuk aku. Baju baru beb. Baru kelmarin kami beli di pasaraya. Memang pagi tu sedikit riang. Hari pertama aku pergi sekolah. Sebelum ni pun aku pernah tadika, tapi masa tadika aku sekolah dengan abang-abangku. Sebab tadika tu selain dari tadika, ada juga kelas agama waktu-waktu petang.

Arwah papa aku bawa aku pergi ke suatu tempat. Aku ingat aku sekolah dengan abang-abang aku yang lain, tapi rupa-rupanya tak. Aku dihantar belajar darjah satu di sekolah rendah agama swasta bawah ABIM. Arwah papa aku sebenarnya berhajat anak lelaki bongsu dia ni sekolah agama, jadi orang agama,jadi sebab tulah aku hantar dekat sekolah ni. Tapi aku pula yang bermasalah. Tak boleh nak berenggang dengan arwah papa aku. Biasalah, anak lelaki bongsu katakan. Jadi, dah satu masalah pula aku ni. Lagipun sekolah aku ni macam lain sikit. Mula belajar macam biasa, tapi habis pukul 4 petang sebab selepas zohor macam ada kelas tambahan agama.

Aku jadi tertekan. Biasalah budak-budak. Kerja nak main saja. Petang-petang bila dah balik, penat, nak tengok cerita kartun pun dah tak sempat. Jadi, aku pun memberontak, aku merajuk tak nak pergi sekolah.

Kasihan arwah papa aku, nak juga dia sekolahkan aku dekat situ, jadi dia temankan aku sampai petang. Kalau tak nampak papa aku, memang macam bangaulah kepala aku cari arwah papa aku. Tapi satu peristiwa berlaku. Cikgu aku dah bagitahu yang hari khamis sekolah habis awal iaitu pukul 2 petang. Aku pula lupa nak bagitahu papa aku. Apa lagi, 2 jam yang cukup menyeksakan duduk tunggu dekat sekolah seorang diri bagi seorang budak berumur 7 tahun macam aku ni. Papa aku sampai, aku naik kereta terus aku menangis. Waa, sangat manja rupanya aku ni.

Minggu depannya, papa aku datang awal pada hari khamis. Tapi masa tu hati aku dah tawar. Tak nak pergi sekolah dah dekat situ. Dekat seminggu aku merengek tak nak pergi sekolah. Akhirnya arwah papa aku mengalah. Dia masukkan aku sekolah dekat rumah sekali dengan abang aku. Barulah hati aku jadi tenang. Belajar pun seronok. Keputusan pun kira baguslah (Tak pernah dapat C tau. A dengan B saja aku dapat. Berlagak seh.hahahah). Memang aku suka belajar situ. Tak sampai tengah tahun belajar darjah satu, aku dah boleh membaca (tapi sekarang budak-budak tadika lagi dah boleh membaca).

Sampailah habis darjah 6, selepas dapat keputusan UPSR, arwah papa aku cuba pujuk balik aku masuk sekolah agama. Lepas puas di pujuk, akhirnya aku dihantar ke sekolah agama berasrama. 3 minggu pertama macam biasa "homesick" sikit. Kemudian lama-lama aku dah biasa. Sebenarnya seronok duduk asrama ni. Fikir belajar dan main saja. Hujung minggu boleh outing ataupun balik. Memang meriah habis. Tapi outing tak mainlah pakai baju batik, mana macho.Hahahaha

Kemudian selepas PMR, arwah papa aku pujuk lagi aku untuk masuk KISAS. Masa tu aku memang ngeri dengar nama sekolah tu sebab dengarnya elite sangat dan undang-undang ketat. Nak bercakap dengan muslimah pun kena duduk belakang tiang. Tapi kalau tak kenal, maka tak cinta. Sebenarnya di sanalah minda aku betul-betul terbuka. Niat untuk belajar di perbetulkan iaitu untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, tiada yang lainnya. Memang waktu sekolah, aku macam tak ambil berat sangat tentang tarbiah dan tazkirah ni, tapi bila dah keluar ke dunia sebenar, barulah aku tahu betapa pentingnya tarbiah dan tazkirah itu supaya aku lebih kenal dunia ni luar dan dalam.

Bila aku dah habis SPM, aku tanya arwah papa aku, "Papa hantar Affan di sekolah agama ni nak suruh Affan jadi ustaz ke papa?". Arwah papa aku senyum sambil berkata, "Papa tak kisah pun Affan nak jadi apa, tapi kalau Affan nak jadi ahli perniagaan pun, jadilah peniaga yang bertakwa, kalau nak jadi akauntan, jadilah akauntan yang bertakwa, kalau nak jadi peguam pun, jadilah peguam yang bertakwa, pelajaran agama itu adalah semata-mata untuk menjadi panduan kepada Affan dalam menjalani kehidupan di atas dunia ni." Aku dalam kabur-kabur, hanya mengangguk cuba berlagak faham (Kononnya dah matanglah kiranya). Jadi walaupun aku mampu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, tapi aku teruskan minat aku dalam bidang perakaunan. Mungkin dalam bidang ini aku boleh melihat keindahan Islam dengan lebih luas lagi.

Ya, aku sangat bersyukur menjadi diri aku sekarang ini. Mungkin aku ada banyak kekurangan, tapi hanya Allah saja yang boleh menutup kelemahan aku ni. Insyallah.