Hari pertama

 Pagi tu aku disuruh bangun awal. Mama awal-awal dah siapkan baju untuk aku. Baju baru beb. Baru kelmarin kami beli di pasaraya. Memang pagi tu sedikit riang. Hari pertama aku pergi sekolah. Sebelum ni pun aku pernah tadika, tapi masa tadika aku sekolah dengan abang-abangku. Sebab tadika tu selain dari tadika, ada juga kelas agama waktu-waktu petang.

Arwah papa aku bawa aku pergi ke suatu tempat. Aku ingat aku sekolah dengan abang-abang aku yang lain, tapi rupa-rupanya tak. Aku dihantar belajar darjah satu di sekolah rendah agama swasta bawah ABIM. Arwah papa aku sebenarnya berhajat anak lelaki bongsu dia ni sekolah agama, jadi orang agama,jadi sebab tulah aku hantar dekat sekolah ni. Tapi aku pula yang bermasalah. Tak boleh nak berenggang dengan arwah papa aku. Biasalah, anak lelaki bongsu katakan. Jadi, dah satu masalah pula aku ni. Lagipun sekolah aku ni macam lain sikit. Mula belajar macam biasa, tapi habis pukul 4 petang sebab selepas zohor macam ada kelas tambahan agama.

Aku jadi tertekan. Biasalah budak-budak. Kerja nak main saja. Petang-petang bila dah balik, penat, nak tengok cerita kartun pun dah tak sempat. Jadi, aku pun memberontak, aku merajuk tak nak pergi sekolah.

Kasihan arwah papa aku, nak juga dia sekolahkan aku dekat situ, jadi dia temankan aku sampai petang. Kalau tak nampak papa aku, memang macam bangaulah kepala aku cari arwah papa aku. Tapi satu peristiwa berlaku. Cikgu aku dah bagitahu yang hari khamis sekolah habis awal iaitu pukul 2 petang. Aku pula lupa nak bagitahu papa aku. Apa lagi, 2 jam yang cukup menyeksakan duduk tunggu dekat sekolah seorang diri bagi seorang budak berumur 7 tahun macam aku ni. Papa aku sampai, aku naik kereta terus aku menangis. Waa, sangat manja rupanya aku ni.

Minggu depannya, papa aku datang awal pada hari khamis. Tapi masa tu hati aku dah tawar. Tak nak pergi sekolah dah dekat situ. Dekat seminggu aku merengek tak nak pergi sekolah. Akhirnya arwah papa aku mengalah. Dia masukkan aku sekolah dekat rumah sekali dengan abang aku. Barulah hati aku jadi tenang. Belajar pun seronok. Keputusan pun kira baguslah (Tak pernah dapat C tau. A dengan B saja aku dapat. Berlagak seh.hahahah). Memang aku suka belajar situ. Tak sampai tengah tahun belajar darjah satu, aku dah boleh membaca (tapi sekarang budak-budak tadika lagi dah boleh membaca).

Sampailah habis darjah 6, selepas dapat keputusan UPSR, arwah papa aku cuba pujuk balik aku masuk sekolah agama. Lepas puas di pujuk, akhirnya aku dihantar ke sekolah agama berasrama. 3 minggu pertama macam biasa "homesick" sikit. Kemudian lama-lama aku dah biasa. Sebenarnya seronok duduk asrama ni. Fikir belajar dan main saja. Hujung minggu boleh outing ataupun balik. Memang meriah habis. Tapi outing tak mainlah pakai baju batik, mana macho.Hahahaha

Kemudian selepas PMR, arwah papa aku pujuk lagi aku untuk masuk KISAS. Masa tu aku memang ngeri dengar nama sekolah tu sebab dengarnya elite sangat dan undang-undang ketat. Nak bercakap dengan muslimah pun kena duduk belakang tiang. Tapi kalau tak kenal, maka tak cinta. Sebenarnya di sanalah minda aku betul-betul terbuka. Niat untuk belajar di perbetulkan iaitu untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, tiada yang lainnya. Memang waktu sekolah, aku macam tak ambil berat sangat tentang tarbiah dan tazkirah ni, tapi bila dah keluar ke dunia sebenar, barulah aku tahu betapa pentingnya tarbiah dan tazkirah itu supaya aku lebih kenal dunia ni luar dan dalam.

Bila aku dah habis SPM, aku tanya arwah papa aku, "Papa hantar Affan di sekolah agama ni nak suruh Affan jadi ustaz ke papa?". Arwah papa aku senyum sambil berkata, "Papa tak kisah pun Affan nak jadi apa, tapi kalau Affan nak jadi ahli perniagaan pun, jadilah peniaga yang bertakwa, kalau nak jadi akauntan, jadilah akauntan yang bertakwa, kalau nak jadi peguam pun, jadilah peguam yang bertakwa, pelajaran agama itu adalah semata-mata untuk menjadi panduan kepada Affan dalam menjalani kehidupan di atas dunia ni." Aku dalam kabur-kabur, hanya mengangguk cuba berlagak faham (Kononnya dah matanglah kiranya). Jadi walaupun aku mampu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, tapi aku teruskan minat aku dalam bidang perakaunan. Mungkin dalam bidang ini aku boleh melihat keindahan Islam dengan lebih luas lagi.

Ya, aku sangat bersyukur menjadi diri aku sekarang ini. Mungkin aku ada banyak kekurangan, tapi hanya Allah saja yang boleh menutup kelemahan aku ni. Insyallah.
2 Responses
  1. Aisyah Says:

    abe, aku lama doh xbukak blog.xtau perkembangan nih. kijo doh ko


  2. Mocha Ghost Says:

    huh, aku kijo lama dah wesss...kalu bleh nak tukar kijo dah. duk mano loni?