Targetku


Kerja makin banyak. Tambah lagi dua, tiga tempat lagi yang nak kena di audit. Dengar memang sibuk, tapi memang tulah kehidupan di firma audit. Lagi-lagi kalau awal tahun. Tapi bila tak ada kerja tu, memang betul-betul tak ada. Sampai boleh bosan dan banyak buat "ketupat" bila masuk pejabat.

Saya pula dapat client yang bermasalah. Nak suruh hantar fail akaun pun susah. Macamanalah nak buat kerja kalau macam ni. Saya perlu kerja. Memang saya tahu, dengan gaji yang seciput ni, saya nak buat kumpul duit kahwin pun tak lepas. Tapi itulah pengorbanan. Saya boleh minta di tempat kerja yang tawarkan gaji yang lebih tinggi, tapi demi untuk sesuatu yang bernama "pengetahuan", terpaksalah saya bermula dari bawah. Semoga target saya tercapai.

Politik yang @#$%

Politik, bertujuan untuk membela rakyat. Tapi bila politik menganiayai rakyat, macamana? Jika hak dinafi, peluang bersuara ditutup, agama makin di cabar, terlalu menjaga hati orang lain yang akhirnya memudaratkan bangsa dan agama, jadi di mana akhirnya politik ini?

Sakit hati melihat si politikus berpura-pura, boleh jadi si kaki botol dan penari dangdut, dalam masa yang sama boleh cakap pasal agama. Merayu rakyat marhain berjimat cermat, tukar cara hidup, tapi mereka? Majlis hari jadi anak-anak pula besar bagai raksasa. Oh, betapa aku impi kisah Saidina Umar r.a. berulang lagi....

Jarum penimbang yang tak bergerak-gerak



Tadi saya baru lepas timbang berat badan saya. Hai, masih lagi di takuk lama. Jarum tak bergerak sedikit pun. Mungkin perlu usaha lebih. Mungkin dari 3 pusingan taman berjogging, perlu ditambah 20,30 pusingan lagi (alamatnya sampai ke ICUlah aku)

Gelora nafsu saya di pejabat kadang-kadang tak mampu di tahan. Minum petang dengan kuih yang menyelerakan, memang betul-betul membuat hati tergoda. Di tambah pula dengan kebanyakan kuih-kuih yang bergoreng, lagilah menarik laju saya ke pinggan kuih. Kuih cek mek (kuih tradisi Kelantan), karipap sardin, keropok lekor dan cucur pisang seperti memanggil-manggil apabila di hidang.

Saya terbaca satu artikel, kebanyakan orang yang makan, bukan disebabkan mereka lapar, tapi disebabkan mereka hanya saja-saja mahu makan. Terkena atas kepala sendiri. Adoiiiii!!!

Sahabat yang hebat



Seribu tahniah kepada sahabat-sahabat, Imran Koyube dan gengnya tabloid "IluvIslam" memang sangat dinanti peminat-peminatnya. Memang kamu semua orang yang hebat. Bermula hanya dari perbincangan, kemudian berkembang menjadi semakin gah. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Itulah lumrah alam. Ada sahabat yang duduk terlalu tinggi sehingga tidak tercapai walhal hujung sepatunya sekalipun. Tetapi ada pula sahabat yang jatuh ke lubang yang terlalu dalam hingga walau dihulur tali yang berkilo-kilo meter panjangnya pun tak dapat dicapai mereka dek kerana terlalu mengikuti hawa nafsu.

Tapi kita di sini teruskan usaha yang kecil ini (mungkin langsung tidak dipandang hujung mata sekalipun). Umpama burung kecil yang membawa air ke dalam mulut sewaktu cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s., walaupun tidak mampu memadamkan api yang marak itu, tetapi usaha itulah yang dijadikan bekalan bila disoal di akhirat kelak.

So sorry

Saya memegang prinsip, "Jika anda tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat, jangan pula anda memberi kesusahan kepada mereka." Maksudnya jika kita rasakan kita tidak mampu untuk menjadi insan yang baik, serta sempurna (mungkin juga seorang yang warak), tetapi jangan pula kita cuba untuk menyesatkan orang lain. Mungkin kita yang malas solat (nauzubillah), tapi jangan halang orang lain untuk bersolat atau mempersendakan rakan yang baru berjinak-jinak untuk solat. Jika seseorang menderma kepada orang miskin, jangan pula kita mengejek atau mempersenda (kononnya mungkin mereka hanya ingin menunjuk), tetapi doakan semoga mereka mendapat kebaikan yang melimpah hasil amalan mereka.

Rasa bersalahlah kepada kepada diri kalau ejekan kita itu akan membuatkan orang lain untuk berhenti melakukan kebaikan.

Tidak rugi kita berbuat baik, tapi kita pasti akan menyesal jika melakukan keburukan.

Penyakit

Harga gula dah naik sikit. Tak banyak mana pun. Hanya 20 sen. Rasanya tak perlu peniaga nak sibuk-sibuk naikkan harga air teh panas. Tapi nak untung punya pasal, macam-macam boleh jadi. Padahal teh panas dah sampai harga seringgit pun satu gelas kecik, kalau naik lagi, terpaksa pesan air kosong sajalah nampaknya. Pening-pening.

Lagipun bagus rasanya harga gula naik pun, mungkin, insyallah (walaupun kita tahu orang Malaysia ni jarang minum tawar-tawar) boleh mengurangkan penyakit kencing manis. Serius, penyakit kencing manis ni memang menakutkan. Rasanya sama bahaya dengan kanser. Kalau kanser payudara, kalau dah tahap kronik kena potong payudara, kalau kencing manis, boleh sampai potong kaki sampaikan dengan betis-betis pun hilang.

Darah tinggi pun lebih kurang sama, kalau dah sampai tahap kronik, memang boleh pitam. Masalahnya penyakit-penyakit ni boleh pergi ke jantung, buah pinggan dan angin ahmar. Kalau dah berangkai macam tu (kalau masyarakat kita, cukup satu pakej), memang terpaksa makan ubatlah sampai akhir hayatlah jawabnya.

Jadi, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan. Kurangkan makan nasi, banyakkan sayuran (padahal sayur banyak yang disembur racun perosak serta memudaratkan), kurangkan makanan segera, kurangkan gula dan selalu bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu (cheewah, macam doktor pula aku). Apa lagi yang saya nak cakap ni, dan jangan lupa senyum-senyum selalu. Tenangkan fikiran, selalu cuba mendekatkan diri kepada Tuhan dan hormati sesama manusia (walaupun manusia sekarang tidaklah sesopan mana).

Si tangan kacang

Jika kamu sedia meminta, kenapa tidak aku sedia memberi? Jangan di tambah luka di hatiku lagi. Betapa aku telah lihat betapa banyak mutiara yang telah tumpah disebabkan kamu. Jangan kamu biarkan ia berlaku lagi.

Mungkin kamu melihat aku tenang, tetapi didadaku hanya api yang menyala. Bukan tidak sudi memberi, tapi pemberianku mesti disertai dengan rasa hormat. Apa salah meminta izin? Bakhil sangatkah aku?

Walhal telahku tahu masa silammu, betapa orang yang ku sayangi menangis keranamu, tolonglah jangan lakukannya lagi. Jika kamu tidak mahu menyesal selama-lamanya.

Melangkah ke satu tahap


Masuk hari ni dah 4 hari saya mula bekerja. Memang rasa bertuah sebab boleh sambung kerja di tempat praktikal saya dulu. Jadi, tak perlu gunakan masa yang banyak untuk mengenali pekerja-pekerja di sana yang sememangnya sangat baik(Ini bukan bodek tahu).

Bila bekerja, walaupun di tempat praktikal dahulu, tekanannnya boleh dikatakan sangat berbeza. Dulu, sewaktu masih pelatih praktikal, bila tak ada kerja, rasa macam indahnya dunia. Tapi bila sudah bergelar pekerja, tak ada kerja bagai nak runtuh bangunan. Seksa sangat. Rasa malu kalau-kalau digelar makan gaji buta. Bukan salah saya yang tak buat kerja, tapi masalahnya pelanggan yang belum hantar fail-fail akaun mereka. Jadi kerja saya sehari-hari hanya membelek semula fail-fail lama pelanggan, kaji semula apa masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat pelanggan.

Harap-harap cita-cita saya akan tercapai hendaknya. Mungkin di lihat sekarang sangat jauh, tapi rezeki Allah, mana kita tahu. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk. Insyallah

Merebut nama Allah atau merebut akidah?

Saya sebenarnya berfikir panjang untuk menulis tentang isu ini. Isu yang agak berat ini sudah tentu harus diteliti dengan mendalam dan harus dilihat dalam pelbagai aspek. Isu penggunaan nama Allah ini ternyata menimbulkan rasa kurang senang hati dikalangan umat Islam di negara kita.

Saya sebenarnya tidaklah begitu menolak dan tidak terlalu menerima keputusan mahkamah baru-baru ini. Saya melihat bahawa penggunaan nama Allah dalam agama Kristian adalah satu rahmat. Sebab betapa ramai orang Kristian yang tertarik dengan Islam apabila mereka mengetahui kita juga mempercayai Nabi Isa, cuma dari konteks hanya seorang nabi. Mungkin apabila kalimah Allah digunakan, mereka sendiri pula yang tertarik kepada Islam.

Tetapi kebimbangan kita untuk mengelakkan kalimah Allah mungkin disalahgunakan untuk tujuan penyebaran agama Kristian juga ada asasnya. Sehingga kita pernah digemparkan dengan adanya tulisan khat yang bertulis tentang kepercayaan agama Kristian. Ada juga petikan-petikan Bible yang diganti perkataan Tuhan kepada Allah yang tampak seperti potongan ayat Al-QurĂ¡n.

Bagi tujuan pencerahan, kita sendiri harus tahu, perkataan Allah adalah perkataan yang unik. Allah itu sendiri menunjukkan satu, Esa, jadi Allah tidak boleh ada dalam konsep triniti. Kalimah Allah juga tidak boleh menjadi Allah Bapa, Allah Ibu atau Allah Abba atau Allah Ummi kerana bersalahan dari segi kaedah bahasa Arab itu sendiri. (kita sedia maklum kalimah Allah berasal dari bahasa Arab)

Saya sebenarnya melihat bahawa isu ini menjadi besar disebabkan kerana kegagalan umat Islam di negara kita untuk memberi kefahaman yang sebenar kepada orang Islam lain dan juga bukan Islam. Kita sepatutnya berasa sangat sedih sebab berapa ribu sangat orang Cina yang memeluk Islam walaupun kita sudah 52 tahun merdeka? Berapa ramai lagi orang Melayu yang menganggap apabila memeluk Islam perlu berkain pelikat dan berbaju Melayu, walhal Islam adalah universal dan bukan untuk orang Melayu sahaja. Ini menunjukkan bahawa pengetahuan kita sendiri tidak mampu menonjolkan sifat-sifat keislaman yang sebenar.

Kita juga boleh lihat, berapa ramai orang Islam yang bersembahyang dan berpuasa, tetapi masih berjumpa bomoh untuk mendapatkan pertolongan daripada jin. Berapa ramai lagi orang Islam yang mempercayai bahawa bunyi burung hantu adalah petanda kematian. Berapa ramai lagi percaya bahawa gatal tapak tangan kanan tandanya kita akan mendapat rezeki. Dan yang paling popular, apabila ada rama-rama masuk ke rumah, itu tandanya ada tetamu hendak datang. Apa pandangan bukan Muslim apabila lihat kita mempercayai perkara-perkara sedemikian? Sudah tentu mereka berkata, orang Islam sama saja macam kita, tak ada beza mana pun. Walhal agama Islam itu diturunkan untuk membebaskan manusia dari karut-marut serta kejahilan menusia tentang dunia.

Hairannya, kita sedia untuk berdemonstrasi bagi menghalang agama lain dari menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka, walaupun perkara itu tidak menyalahi nas, tetapi di mana kita bila adik-beradik kita yang beragama Islam masih ramai yang percayakan bomoh, meminta pertolongan dengan makhluk halus. Di mana kita bila ramai anak-anak muda Islam kita yang mabuk di kelab-kelab malam dan membuat maksiat di sambutan tahun baru? Apa peranan kita bila ada artis yang mengatakan mereka berpakaian seksi untuk mencari rezeki yang halal? Di mana ada demonstrasi yang menghalang anak-anak muda dari terpengaruh dengan Black Metal? Kenapa tidak kita meminta peruntukan dalam undang-undang negara untuk menangkap anak-anak muda yang terpengaruh dengan Punk, Skin Head dan Black Metal?

Susah bila semua beban diletakkan di atas Pihak Agama Islam, tetapi peranan sendiri, terus kita abaikan. Semut di seberang laut dibuka, gajah di depan mata, terus buta.