Nasi Ikan


Aku melihat jam di lenganku. "Baru 8.30pagi. Sempat lagi 15 minit untuk makan pagi", bisik aku.

"Jom kita makan nasi berlauk dulu" ajak aku kepada kawan-kawan sepejabatku.

"Jom," jawab mereka.

Macam nak melompat-melompat rasanya aku. Dah lama aku tak makan nasi berlauk. Sejak dari kejadian kucing itu, sudah lama aku tak makan nasi yang cukup terkenal di negeri Pantai Timur itu. Ye lah, negeri lain, mana ada yang makan nasi di pagi-pagi hari? Silap-silap, orang pun terkejut dengan orang Kelantan makan nasi di pagi hari.

Hari ini juga macam biasa, aku memesan nasi berlauk ikan tongkol. Lauk kegemaran aku.

Sampai sahaja nasi itu, aku terus ambil sudu dan garfu, baca doa dan terus makan. Sambil makan tu, ada sempat juga berbincang pasal kerja-kerja yang akan dikerjakan selepas ini, disamping "memakan daging" orang lain. Hehehe

Tiba-tiba ada seorang kawan aku berkata, "Banyak tulanglah ikan aku ni".
Aku pun dengan selamba kata, "Eh, aku punya tak ada tulang pun?".

Tiba-tiba bila aku hendak menelan nasi yang sudah dikunyah, aku terasa macam satu benda yang mencucuk kerongkong. Rasa pedih semacam.

Rupa-rupanya aku sudah tercekik tulang. Kaget sebentar. Aku cuba untuk mengeluarkan tulang itu, tapi takut pula orang lain tak ada selera melihat aku nanti. Jadi, aku hanya pergi ke sink dan basuhkan mulut, sambil cuba-cuba berkumur untuk mengeluarkan tulang itu. Tapi ternyata tidak berhasil.

Selepas balik dari kedai makan itu, aku bungkus bawa balik Kuih Seri Muka dari kedai itu. Bukan sebab perut aku lapar, tapi aku hendak telan bulat-bulat supaya tulang itu terus masuk ke dalam perut.

Bila sampai di pejabat, aku cuba menelan kuih yang aku beli tadi. Namun tetap tak berhasil. Rasa rugi pula makan kuih, tetapi terus ditelan, memang tidak ada rasa langsung. Rasa manisnya pun tidak ada.

Sudah pukul 9.30pagi, tulang itu masih lagi bermain-main di dalam tekakku. Kerja aku masih banyak, tekak pula buat hal.

Aku nekad, aku terus bangun dari kerusi dan terus ke tandas. Aku hadapkan muka aku ke sink. Aku mencuba-cuba untuk korek keluar tulang itu dengan tangan. Rasa macam nak termuntah. Tapi aku terus korek juga, dan tiba-tiba. "Ha, dapat." Terus aku tarik tulang itu dari kerongkong. Panjang betul tulang itu. Rasa-rasanya dalam 3cm. Siap bercabang dua lagi. Patutlah aku rasa macam nak muntah.

Lega rasanya bila tulang sudah dibuang. Tapi tekakku masih lagi sakit. Mungkin tekak aku telah cedera sebab dicucuk tulang ikan tongkol itu. Insaf betul aku. Lepas ini, aku tak akan makan nasi lauk ikan dengan sudu garfu lagi. Huhuhuhu
2 Responses
  1. Aisyah Says:

    hahhahaah aku dah agak sudu garfu ala2 org kolumpo mum tu akan bawak padah!!!!


  2. Mocha Ghost Says:

    hahaha..xbest betul jadi orang kolumpo