REmp-It or Samseng Jalanan???



Selepas jogging pagi tadi, tiba-tiba Shahrul kawanku mengajak aku pergi ke kawasan bebas cukai iaitu Rantau Panjang. Oleh kerana aku pun sudah lama tidak pergi, aku terima saja. Lagipun hari sabtu tak bermakna kalau tidak berjalan-jalan bersama kawan-kawan, bagi aku la.

Dan pagi ini sengaja aku tidak memandu kereta, sebab aku mahu cuba naik motosikal Shahrul pula. Ye la, lagipun hari minggu ini, kereta sangatlah banyak, samada dari dalam negeri atau luar negeri. Tambahan pula jalan di negeri Kelantan ini kebanyakannya hanya 2 baris sahaja. Dua di sebelah kanan, dan dua di kiri dan kebanyakan jambatannya pula hanya satu baris. Cuba bayangkan kereta yang banyak itu menerjah jalan-jalan di Kelantan, sudah tentu boleh jadi sakit kepala jadinya.

Sebenarnya banyak kelebihan naik motosikal ni, di samping tidak perlu berbaris panjang di lampu isyarat, tapi boleh juga masuk ke lorong-lorong yang kecil, yang hanya boleh dilalui oleh satu kereta sahaja bagi satu-satu masa.

Tapi aku puji dengan kalakuan Shahrul membawa motor. Walaupun di bawa laju, tetapi peraturan masih di ikut. Lampu isyarat tidak pernah dilanggar. Ya la, selalunya bagi golongan rempit ini, asal jalan kosong saja, terus dilanggar walhal lampu masih merah menyala bak mata naga. Tapi nampaknya rempit-rempit si Shahrul ni, akal masih mengatasi nafsu. Tapi masalahnya tak ramai mat rempit yang begini. Biasanya mereka sentiasa di momokkan dengan perlakuan liar serta akhir-akhir ini hingga membawa kepada kematian.

Pada pandangan akulah, banyak faktor lahirnya golongan rempit-rempit@ samseng jalanan ini.

1) Memang di Malaysia ini ramai penunggang motor.
Kebanyakan ibubapa membelikan motor kepada anak-anak mereka selepas sahaja mereka layak untuk mendapatkan lesen. Tapi ada juga walaupun lesen masih belum ada, motor sudah tersedia. Kadang-kadang kalau 5 anak, maka 5 buahlah motor terparkir di depan rumah. Kaya betul orang Malaysia ni.

2)Jalan yang agak sempurna.
Jalan baik, lancar, tak ada lubang, memang tarafnya adik sedikit dari litar Sepang. Memang terpaksa diakui JKR telah melakukan tugas dengan baik, walaupun ramai mengatakan JKR ini hasil dari perkataan "Jangan Kerja Rajin", tapi tanpa mereka, sudah semestinya kereta kita tahan hanya 5 tahun sahaja, remuk-remuk akibat lalu di jalan yang pecah. Terima kasih kepada Samy Vellu, walaupun sudah lama pencen, jasamu tetap dikenang.

3)Pengaruh kawan-kawan.
Sifat yang mencabar-cabar antara satu sama lain menyebabkan mereka cuba untuk meniru aksi-aksi bahaya yang ditunjukkan oleh oleh rempit-rempit yang lagi senior. Ya, orang Malaysia, lagi-lagi orang Melayu ini memang pantang di cabar. Tapi sayang, cabaran disahut dengan cabaran yang membawa perkara yang kurang berfaedah. Kalau dicabar di dalam pelajaran, lagi rela di gelar Mak Nyah daripada terpaksa memegang buku.

4) Memang mereka mahir menunggang motor.
Ya lah, buka mata saja, tengok motor dulu, lepas makan pagi, lap-lap motor buang-buang habuk, tengahari berjalan dengan motor sampailah ke maghrib. Itu pun disambung semula sampai ke pagi buta. Duduk atas motor lagi lama daripada duduk atas kerusi, manalah tak mahir. Willie, Wikang, itu semua small matter. Boleh dibawa bincang. Kadang-kadang kita yang membawa kereta ini pun takut nak mencelah, sebab mereka lagi mahir, siap mencelah di antara dua buah treller pun. Hebatkan orang Malaysia? Hollywood pun tengah cari untuk dijadikan "stuntman" cerita James Bond.

5)Cuaca Malaysia ini yang sememangnya panas dan berhabuk.
Bayangkan terpaksa terpacak dekat lampu isyarat waktu tengahari yang panasnya terik, betapa seksanya. Sebab itu kebanyakan penunggang motor, tengok saja tak ada kereta, terus jalan walaupun lampu masih merah. Dan bawa motor, mestilah laju sebab nak ambil angin untuk sejukkan badan. Tapi itu tak sepatutnya dijadikan alasan untuk merempit. Tak patut dijadikan alasan untuk memotong enjin supaya lebih laju, ekzos yg lebih bising kononnya kerana cuaca Malaysia yang panas. Kalau diberi alasan itu kepada polis traffik, lagi cepatlah anda dibawa ke lokap.

6)Kurang kesedaran oleh ibubapa
Kurangnya kesedaran dari ibu bapa mengenai keselamatan di jalan raya, etika dan peraturan. Ibu bapa boleh selamba membiarkan anak mereka menaiki motor walau baru berumur 7 tahun(tapi kalau difikir, motor itu yang membawa mereka). Kadang-kadang anak-anak yang merempit ini pun, ibubapanya juga dulu bekas mat rempit dan minah rempit juga. Tapi bukan semua. Anak-anak naik basikal pun masih belum dicabut tayar 4, tapi motor sudah mahir di bawa. Maju betul anak-anak zaman sekarang. Belum pandai merangkak tapi sudah pandai berlari. Kalau nak pergi kedai beli tepung pun, si emak pula menggalak, "Naik saja motor bapak kau. Cepat sikit bawa motor tu. Nanti bapak kau balik, mahu makan apa?" Bila ditegur budak itu, kita pula di marah emaknya. Bak kata orang tua-tua "Emak kencing berdiri, anak kencing berlari."

Itu sahaja yang aku sempat fikirkan. Seharusnya kerajaan dan masyarakat harus bekerjasama bagi membanteras perkara ini dari terus menular. Dan tidak dinafikan bahawa trend ini semakin bertambah dari masa ke semasa. Kita seharusnya berharap agar kita tidak menjadikan jalan raya ini sebagai kubur-kuburan kepada anak-anak kita. Ingatlah.
4 Responses
  1. BG Says:

    lagu page ang xtahan laa...wakakka bg aku dua2 tu sama jerk..mereka SAMPAH !!


  2. Mocha Ghost Says:

    sampah lagi bagus kot.sebab sampah tak ragut orang mengandung sampai mati. Nape ngn lagu?tak sedap eh?


  3. BG Says:

    hahh kira depa ni mmg DAJJAL la..kes ragut pompuan n bunuh org tuuu gua mmg xleh konsider..jgn jumpa dengan aku dah....kang aku pelekuP ngan parang....

    lagu ang jiwang sei...wakakkak :p


  4. Tanpa Nama Says:

    appannnn..hehehe...izad sini..saja r singgah sbb baru tau blog ko..