KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Jika sebelum ini jurufoto bertugas membuat liputan sesuatu acara dilihat berjalan-jalan ketika Negaraku dimainkan, amalan itu tidak lagi dibenarkan mulai Jumaat ini apabila negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sudah tiba masanya bagi lagu kebangsaan itu mendapat penghormatan sewajarnya daripada semua rakyat.

"Ini penting kerana lagu kebangsaan sesebuah negara itu wajib dihormati oleh semua pihak. Apabila lagu Negaraku dimainkan, semua kena berdiri hormat, lagipun bukan lama kena berdiri, cuma kurang dari dua minit," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh perbarisan Hari Kemerdekaan ke-50 di Dataran Merdeka hari ini.

Rais, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Kemerdekaan Negara ke-50, berkata beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet minggu depan.

Terdahulu ketika berucap kepada lebih 24,000 peserta acara perbarisan itu, beliau meminta kerjasama wakil media, terutama jurufoto, supaya tidak berlegar-legar mengambil foto semasa lagu Negaraku dimainkan.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati. Namun beberapa perkara lagi perlu diberi perhatian, seperti peserta perlu mengukir senyuman," katanya.

Acara perbarisan itu yang akan bermula pada pukul 8 pagi pada 31 Ogos dijangka berlangsung selama dua jam.

Mengenai kempen mengibar "Jalur Gemilang", Rais berkata beliau belum berpuashati dengan sambutan rakyat kerana masih ramai pemilik kenderaan tidak mengibar bendera kebangsaan menjelang sambutan kemerdekaan kali ini.

"Kerajaan tak mengagihkan bendera itu kerana kita mahu lihat sama ada warga Malaysia akan menyahut cabaran (mengibarkan bendera) kerana sudah sampai masanya untuk mereka berbuat demikian.

"Lagipun, harga bendera murah antara RM1.80 hingga RM2 satu iaitu hampir sama dengan harga enam batang rokok," katanya.
--------------------------------------------------------------------------------------
Walaupun cerita ini sudah lama,tapi,Ya, aku sangat sokong perkara itu. Kerana aku sudah malu, malu kerana tidak ramai yang menghormati lagu NegaraKu. Berapa ramai orang yang sanggu berdiri tegak sewaktu lagu NegaraKu di corong pembesar suara. Aku pasti masih ramai yang masih selamba berborak dan tidak berdiri.

Tidak hairan, kerana waktu aku sekolah dahulu, sewaktu pelajar sedang menyanyi lagu Negaraku, masih ada cikgu-cikgu yang berjalan-jalan di tepi dewan seolah-olah tiada apa. Apa boleh buat, negara kita hanya sibuk berpolitik tapi tidak sibuk untuk menyemai semangat patriotisma di dalam diri setiap warganegara. Yang ada hanyalah kita disogokkan dengan unsur-unsur perkauman yang tidak berkesudahan.

Tapi paling menyedihkan, terdapat sekolah-sekolah agama yang tidak mahu menyanyikan lagu NegaraKu sewaktu perhimpunan. Apa, nyanyi lagu Negaraku itu lagha dan melalaikan serta mensyirikkan kah?

Pada masa ini, jika disoal dikalangan kita, berapa ramaikah yang menghafal Rukun Negara? Mungkin perkara bunyinya remeh, tapi Rukun Negara menunjukkan kepada aspirasi negara ke arah membentuk rakyat yang setia, patuh dan bersahsiah tinggi.

1) Percaya kepada Tuhan
2) Setia kepada Raja dan Negara
3) Keluhuran Perlembagaan
4) Kedaulatan Undang-undang
5) Kesopanan dan kesusilaan

Kasihan jika berpelajaran tinggi, belajar hingga ke universiti, tapi Rukun Negara ingat-ingat lupa pula.

Sekarang ni pun, nampaknya kita lagi marah kalau bendera parti "kesukaan" di bakar dari melihat Jalur Gemilang di perlakukan sedemikian.
0 Responses