Semakin hari semakin panas. Masing-masing parti nampaknya gagah untuk membuktikan bahawa mereka mampu untuk membela penduduk di Manek Urai yang sebelum ini langsung tidak diketahui orang. Bangga betul orang Manek Urai, dulu dikatakan tinggal di ceruk hutan, tapi gambar mereka hari-hari masuk dalam televisyen.
Paling menarik bila TV3 menyiarkan tentang penyewa rumah yang menyewakan rumah mereka kepada krew TV3. Harga bagi 14 hari untuk tinggal di rumah itu berjumlah RM7000. Wah, aku yang tengah makan nasi di kedai tadi tiba-tiba tergelak, nasib baik tidak tersembur nasi. Bila di kira-kira, maknanya sehari tinggal di "hotel kayu" itu berjumlah RM500. Dengan air kolah warna ala-ala teh tarik mamak, yang mungkin tidak perlu di bayar kerana mungkin di tadah dari kawasan bukit sahaja, sememangnya penyewa yang tamak itu dapat durian runtuh. Itulah untungnya bila ada pilihanraya kecil di kawasan masing-masing. Tiba-tiba harga sewa dan harga makanan menjadi mahal. Harga roti canai di makan 4 orang sudah mencecah RM40.
Paling menarik bila ditunjuk dalam televisyen Pak-pak Menteri siap sanggup membonceng naik motor berarak dengan anak-anak muda di kawasan kampung, yang difikirkan rasanya tidak mungkin akan berlaku waktu bukan pilihanraya.
Dan banyak projek-projek yang sedia dijalankan di kawasan mengundi itu, tidak kiralah lampu jalan, jambatan, tadahan air walaupun dilihat agak menjengkelkan, tapi sudah terbukti keberkesanannya. Tidak hairan kerana kita sejak kecil lagi sudah dikelirukan di antara untuk membezakan antara kerajaan atau parti.
Hari selasa iaitu hari mengundi telah diumumkan cuti bagi seluruh negeri Kelantan (hairan pula kenapa hari mengundi tidak dilakukan pada hari hujung minggu, tapi bagus juga, tak payah kerja.hahaha). Aku berdoa semoga hari pengundian itu berjalan dengan baik. Bagi aku, kedua-dua calon ada kelebihan. Tapi, hanya orang Manek Urai sahaja tahu undi mereka untuk siapa.
Bak kata Datuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Rakyat Didahulukan, Manek Urai diutamakan".
Catat Ulasan