Kembar




Petang tadi aku dapat sms dari kawan ku, Shahrul Sazli. Dia menjemput aku pergi ke rumah sebab ada tahlil bagi arwah adiknya. Tergaru-garu juga kepala, sebab aku sangat tidak pakar dengan jalan-jalan di Pasir Puteh, kampung si Shahrul itu.

Tapi nasib baik sebab beberapa orang lagi kawan aku yang lain pun ingin ikut sekali dan sangat pakar dalam selok-belok jalan di Pasir Puteh (dah tu kampung kau, memanglah).

Sampai saja di sana, kebetulan majlis baru bermula. Syukurlah. Kalau tidak, malu betul kalau makan terus angkat pinggan dan makan.

Selepas selesai majlis tahlil, aku tengok muka Shahrul tenang saja. Mungkin kerana dia sudah dapat menerima takdir yang berlaku sebab arwah adiknya memang sudah lama menderita penyakit lelah(tetapi orang lelaki memang handal menyimpan perasaan).

Selepas majlis tahlil selesai, Shahrul bercerita mengenai arwah adik lelakinya yang berumur 10 tahun itu. Sebenarnya adiknya itu kembar, sepasang. Kembar siam atau tidak, wallahua'lam. Tak sempat pula aku nak tanya.

Adik kembarnya itu sangat rapat, dan menderita penyakit yang sama, iaitu asma. Punyalah rapat, sehingga kalau salah seorang yang asma, maka tidak lama selepas itu, si pasangan pula yang asma. Tengah-tengah malam pula, kalau salah seorang yang semput kerana asma, si adik ini akan mengejutkan pasangan kembarnya untuk mengambilkannya ubat tanpa mengejutkan orang lain walhal mereka tidur agak berjauhan. Maka bergegaslah si pasangan kembar ini mencari-cari ubat dan air di dapur untuk diberikan kepada pasangan kembarnya yang satu lagi. Dan begitu juga sebaliknya jika kembar yang satu lagi pula yang sakit. Dan semua itu berlaku hanya di antara mereka berdua, tanpa mengejutkan abang-abang lain yang tengah enak tido.

Tiba-tiba aku terfikir, selepas ini, jika si adik ini semput kerana asma pada tengah-tengah malam, mungkin si adik kembar itu tercari-cari kembarnya yang sudah pergi.

Dan tidak semena-menanya air mataku bergenang...

*Al-Fatihah kepada roh allahyarham adik Shahrul. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempat dengan golongan orang yang beriman. Insyallah.
0 Responses