Bini nombor 2 ku

Baru lepas sambar saga blm 1.3 sebiji. Nasib baik cepat sebab Proton keluarkan saga Blm Face Lift baru, jadi akan lebih mahal sikit. (dari RM1,000 hingga RM1,500). Apa pun memang puas hati pakai saga blm ni. Selesa dan enjinnya pun gagah perkasa. Tapi tak tahan auto memang kuat pakai minyak. Jadi kaki tu kena agak lembut bila tekan minyak. Berikut catatan minyak yang telah aku isi.

RON95 Petronas. RM55/369KM= RM0.14 bagi setiap KM. Tu pun sebab atas lebuhraya Grik.
Tapi bila dekat bandar purata RM10/40km=RM0.25 setiap KM. Memang betul-betul curah minyak ikut tingkap. Tengah tunggu untuk servis 1,000KM. Ada orang kata lepas servis, minyak lebih jimat. Dan nak cuba guna RON97. Orang kata juga, memang boleh pergi lebih jauh. Nak cuba kira, kalau setakat beza 1km-5km tak padan la sebab minyak RON97 memang mahal sungguh. RM2.30/liter. aduhaiii

Gambar tak sempat nak letak lagi. Lagipun biasa je lagi. Tak sempat nak bubuh apa-apa lagi. Duit kering pasal baru ambil kereta. Hohohoho

Lalu di Ekspo Cheng Ho

Pemandangan dari luar. Khemah besar untuk booth pameran

Pemandangan di tepi jalan ke ekspo

Kerajaan Kelantan telah mengadakan Ekspo Cheng Ho. Tadi aku lalu sekejap, tengok macam menarik jugalah. Ramai orang memang tak boleh nak kata. Tapi yang paling menarik sekali sebab ramai orang-orang dari China ada dekat situ. Ye la, orang cina Tanah Besar sekali tengok pun dah tahu dan tak sama dengan cina Malaysia.

Kebanyakan warga China yang ada kat sini beragama Islam, berdasarkan kepada pakaian mereka, yang lelaki pakai kopiah dan perempuan pula pakai tudung. Dekat sana semacam aku sedar, betapa universalnya agama Islam ni.

Aku rasa memang baguslah kerajaan negeri buat ekspo ni bagi menarik pelabur-pelabur dari China untuk melabur masuk ke negeri Kelantan. Tapi macam biasa, ekspo sini takkan masuk dalam surat khabar arus perdana walau untuk separuh muka pun. Mungkin kurang publisiti agaknya, wallahua'lam.

Aku pun tak sempat lagi nak masuk ke dalam, tinjau-tinjau apa yang ada. Tapi katanya kebanyakan benda yag dipamerkan lebih kepada mencari pedagang-pedagang baru yang berminat untuk melabur dalam membeli produk-produk mereka. Selain tu, ada juga dipamerkan Al-Qur'an terpanjang di dunia dan di buat dari emas. Gambar atas ni pun aku sempat ambil masa nak pergi hantar fail dekat client. Kalau tak, memang tak adalah aku nak pergi sebab kebanyakan booth ditutup pada waktu malam (dah siang aku kerja sampai petang, mana nak sempat pergi).

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya Laksamana Cheng Ho itu Islam.

Pekerjaan yang melampau

Kerja aku banyak gila yang datang. Lepas satu, satu. Padahal yang tengah buat ni pun aku tak sempat siapkan lagi. Memang nampaknya aku kena buat rumah dekat pejabatlah nampaknya. Lepas tu kena bawa tilam, selimut, ubat gigi, sabun, almari baju dengan penyangkut baju sekali. Biar boss aku terharu. Menangis dapat pekerja biol macam aku. Hohohoho.

Siapa-siapa ada kerja kosong yang syok untuk aku tak?

Keracunan makanan pulak dahhhh

Pada hari pertama raya haji lagi aku dah rasa pening-pening. Rasa nak muntah dan mual-mual. Macam ibu mengandung pula lebihnya.

Tengah pagi-pagi buta, aku terbangun, termuntah. Nasib baik aku sempat pergi memerah dekat tandas. Kalau tak aku juga yang penat mengerah keringat dan kejantanan nak mengelapnya nanti.

Itulah, ma aku dah lama bagi pesanan penaja. Jangan selalu sangat minum dekat luar tu. Airnya bukan boleh percaya pun. Gelas tu entah cuci dengan sabun tak. Tengok-tengok pakai "rocoh-rocoh" dengan ibu jari kaki yang bercekam. Yakkss.... aku tak boleh bayang kalau ada yang buat macam tu.

Sekarang aku dah lebih berjaga-jaga, pandang kiri kanan kalau nak beli minum dekat kedai. Kadang-kadang, kedai nampak terpampang sebesar tayar lori kapal terbang, "Kedai Gred A", tapi walau bersih di luar, dalamnya hanya tuan kedai dan keluarganya saja yang tahu.

Owh, tidak. Mual lagi rasa niiiiiiiii

Salahkah perempuan tak tahu masak?


Ada hari tu aku terbaca satu artikel, atau mungkin lebih kepada bebelan seorang wanita. Tentang mengenai perlukah seorang wanita tahu memasak, lagi-lagi kalau nak jadi isteri orang? Habis macamana pula dengan orang lelaki yang tak boleh jadi imam? Kenapa benda itu tak dipersoalkan? Termenung aku memikir.

Kalau dipusing terbalikkan semua soalan tu, tak perlu ke seorang isteri untuk tahu memasak? Kalau isteri tak reti masak, macamanalah kehidupan keluarga tu? Tiap-tiap hari makan luar ke? Lagipun kalau nak dikira-kira, kalau makan tu setakat 2 orang, mungkin lebih ekonomi sekadar makan luar saja. Tapi macamana kalau lebih dari 2 orang? Ye la, takkan kahwin keluarga tak bertambahkan? Kecuali yang lambat dapat rezeki, memang tak boleh nak buat apa. Kalau makan luar, satu kepala mesti jatuh RM6 sekepala termasuk dengan minum. Tu pun kalau makan nasi kosong dengan tomyam. Kalau keluarga tu ada 5 orang, dah berapa kalau sekali makan? Cincai-cincai pun melayang jugalah duit merah berkeping-keping. 

Tapi cuba kalau masak sendiri, kalau setakat tomyam satu periuk dengan telur dadar, rasanya kos RM20 pun susah nak cecah. Tengok, dah berapa keluarga kita dapat jimat. Itu baru sekali makan, kalau untuk seminggu? Sebulan? Setahun? Dah boleh buat pergi melancong pun. Dalam kes ni kaum isteri patut bangga sebab merekalah keluarga dapat sedikit sebanyak menjimatkan kos.

Lagipun memasak ni menjadi "pengikat" isteri kepada suami. Dapat pula yang masak sedap, masa rehat di pejabat pun suami sanggup balik sebab nak makan. Sekurang-kurangnya selalulah suami isteri dapat berjumpa dan mengeratkan lagi kasih sayang.

Memasak juga mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Di katakan anak lebih patuh kepada ibu jika mereka selalu makan masakan ibu mereka kerana berkat dari air tangan ibu. Lagipun bagi ibu-ibu, penat lelah memasak akhirnya akan hilang jika melihat anak-anak serta suami makan masakan mereka dengan berseleranya.

Satu lagi, memasak boleh dikatakan antara tugas yang agak ringan, sesuai dengan kudrat seorang wanita. Mungkin tugas mencuci halaman rumah, tebas lalang, membaiki peralatan rumah lebih sesuai kepada suami. Kalaulah isteri tak reti masak, habis tugas apa lagilah yang boleh dilakukan selain mengemas dan menjaga anak?

Ada pepatah Inggeris, "Satisfy your husband through his stomach". Ini sebab orang lelaki menjadi lebih sensitif dan agak panas baran apabila perut mereka lapar. Kalau perut sudah kenyang, hati pun jadi senang dan sejuk hati. Ini tentunya memerlukan kepakaran isteri dalam memasak. Kalau nak beli di kedai hari-hari, memang muaklah jawabnya.

Tetapi tak menafikan si suami memang perlu tahu jadi imam. Sebabnya dosa anak perempuan dan isteri adalah dibawah tanggungjawab suami.

Kelantan menang lagi daaaa



Alhamdulillah, setelah puas aku jadi orang gila seorang diri dekat depan TV menjerit-jerit, akhirnya boleh juga Kelantan pergi ke final. Tapi yang tak tahannya jumpa balik dengan lawan tahun lepas, Negeri Sembilan. Silap-silap terbakar lagilah kerusi dekat Stadium Bukit Jalil. Tak baik agaknya mengata orang negeri sendiri, tapi dah memang kenyataan rasanya, tak boleh nak nafi dah. Orang dah kata jangan baling mercun, tapi si beruk-beruk tiga empat ekor di antara orang ramai dekat stadium tu masih lagi berdegil. (Jadi memang salah kamulah wahai beruk-beruk sekalian apabila orang negeri lain benci sangat dengan orang Kelantan).

Apa pun tahniah juga kepada pasukan Kedah, kamu semua memang main memang hebat, cuma tak ada rezeki. Tak apa, boleh cuba lagi tahun depan.(Walaupun mungkin Kelantan boleh pergi juga ke final tahun depan.hahahahaha. berlagak seh).

Jadi kepada kawan-kawan aku yang rasa poket dia tebal dan tak tahu nak buat apa,bolehlah taja aku pergi KL untuk tengok bola final akhir bulan ni. Yeeeehaaaa

Maher Zain sangat kacak?



Apa lagi yang boleh di katakan mengenai Maher Zain. Dengan lagu yang sungguh memukau, lirik yang begitu menusuk sehingga kadang-kadang tak sedar air mata mengalir. Itulah dia aura penyanyi berasal dari Sweden.

Apa yang aku tengok dari lagu Maher Zain, keikhlasan lirik begitu terzahir, lagi-lagi diiringi dengan lagu yang begitu catchy dan syahdu. Video klip "Inshallah" dilihat begitu menenangkan dengan bagaimana kehidupan manusia yang kucar-kacir apa bila hati sedia menyerahkan diri kepada Allah, menjadikan manusia mahu jadi insan yang lebih baik lantas meninggalkan perbuatan munkar.

Maher Zain pernah terlalai dalam hidupnya malahan mendapat peluang untuk bekerjasama dengan artis-artis Hollywood seperti Lady Gaga dan Akon dalam penerbitan lagu. Tetapi ternyata ketenangannya hanya di kecapi sewaktu kembali semula ke Sweden, dimana dia rasa lebih tenang berada di kalangan masyarakat Muslim dan mengamalkan segala ajaran-ajaran Islam. Kemudian beliau nekad untuk melakukan transformasi dalam hidup seterusnya dalam lagu-lagu beliau.

Pada pendapat aku, lagu-lagunya begitu mendalam kerana keikhlasan Maher Zain dalam meluahkan hatinya  kepada Maha Pencipta dan kekaguman Maher terhadap agama Islam. Kita, sebagai Muslim sepatutnya berterima kasih kepada beliau kerana sedikit sebanyak menggambarkan kepada bukan Islam agama Islam yang suci ini. Tidak mustahil kalau dia terus ikhlas, dia akan mampu untuk menulis lebih banyak lagi lagu-lagu yang menenangkan dan indah.

Aku pernah terkesan dengan nasihatnya sewaktu diwawancara iaitu apabila kita melakukan kesalahan, jangan kita malu untuk bersolat dan meminta keampunan kepada Allah s.w.t., kerana perasaan malu itu sebenarnya adalah bisikan Syaitan supaya kita terus jauh dari Allah s.w.t. Berapa ramai gadis-gadis dan pemuda-pemuda yang terjebak dalam maksiat meninggalkan solat kerana mereka berkata mereka terlalu banyak berdosa dan malu kepada Allah s.w.t. Nasihat itu terkandung dalam lagu hitsnya iaitu "Inshallah".

Kadang-kadang aku rasa pelik kenapa masih ada yang mendengar lagu Lady Gaga dan Adam Lampbert apabila kita sudah ada lagu Maher Zain?

Biduanita negara?

Semalam baca surat khabar. Terbelek tentang artis (terbelek ke memang aku sengaja? hohoho) Kadang-kadang baca tentang artis memang boleh jadi cerita kelakar. Oh, baru aku tahu setakat manalah pemikiran seorang artis. Selalunya artis wanitalah. Bila berdalih tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, mereka ni memang boleh jadi raja lawak.

Satu cerita tentang biduanita terkenal tanahair, Kak Pah montel bertahi lalat manis meriah di atas mukanya. Katanya, kasihan dengan rakan-rakannya yang tersepit selepas memakai tudung. Jadi sebab itu dia tidak mahu pakai tudung, takut nanti di pakai tudung kerana disuruh peminat, tetapi bukan kerana Allah. Jadi sekarang Kak Pah tak pakai tudung kerana siapa kalau semua peminatnya suruh pakai tudung? Takkan kerana Allah juga? Kasihan betul bila terbaca pemikiran yang sebegini.

Anak dah belajar di Madinah, dah nak menunaikan haji di Mekah pula tahun ni. Tapi pemikiran masih terbelakang. Katanya lagi, sekarang pun, Kak Pah tak pakai tudung, tapi Kak Pah tutup dengan rambut palsu. Jadi, rambut Kak Pah tetap terpelihara, bersinar-sinar dan lembut seperti baru, serta tanpa rambut yang terdedah kepada bukan mahram. Oh, jadinya memakai rambut palsu tak salah ke? Bukankah memakai rambut palsu seperti hukum menyambung rambut, tetap haram.

Mungkin juga Kak Pah pakai iktikad ulamak lain, ulamak yang lagi tajdid,  yang lagi banyak mengarang kitab, tak seperti aku yang belajar agama secara formal sampai sekolah menengah saja. Jadi tahu hanya setakat asas, tapi tak ambil PSI Lanjutan atau PQS Lanjutan. Chaittt. Kalau sendiri sesat, janganlah sesatkan orang lain pula. Pahhhhhhh..............

Back to School?

Hmmmm... termenung lama aku. Dalam memikirkan tentang benda ni. Perlukah aku mencuba? Tak salah agaknya. Lagipun aku memang sejak kecil macam ni. Masa depan yang hanyut tanpa perancangan. Dan semestinya perancangan aku yang aku atur asyik tak menjadi. Jadi, terpaksa aku susun balik hidup aku berdasarkan perubahan besar yang berlaku.

Aku pun tak sangka dapat pula ujian personaliti ni. Ramai juga kawan aku yang minta, tapi ramai juga yang tak dapat. Alhamdulillah, mungkin rezeki Allah nak bagi. Mungkin juga sebab nak uji aku samada aku mampu tak nak pikul tanggungjawab. Aku kena siap sedia. Aduss, apalah bala ujian personaliti ni. Kalau dah isi borang tu maknanya dah memang minatlah. Takkan isi borang sebab benci.

Adakah mungkin halatuju aku untuk menjadi pendidik menjadi kenyataan?

Hari pertama

 Pagi tu aku disuruh bangun awal. Mama awal-awal dah siapkan baju untuk aku. Baju baru beb. Baru kelmarin kami beli di pasaraya. Memang pagi tu sedikit riang. Hari pertama aku pergi sekolah. Sebelum ni pun aku pernah tadika, tapi masa tadika aku sekolah dengan abang-abangku. Sebab tadika tu selain dari tadika, ada juga kelas agama waktu-waktu petang.

Arwah papa aku bawa aku pergi ke suatu tempat. Aku ingat aku sekolah dengan abang-abang aku yang lain, tapi rupa-rupanya tak. Aku dihantar belajar darjah satu di sekolah rendah agama swasta bawah ABIM. Arwah papa aku sebenarnya berhajat anak lelaki bongsu dia ni sekolah agama, jadi orang agama,jadi sebab tulah aku hantar dekat sekolah ni. Tapi aku pula yang bermasalah. Tak boleh nak berenggang dengan arwah papa aku. Biasalah, anak lelaki bongsu katakan. Jadi, dah satu masalah pula aku ni. Lagipun sekolah aku ni macam lain sikit. Mula belajar macam biasa, tapi habis pukul 4 petang sebab selepas zohor macam ada kelas tambahan agama.

Aku jadi tertekan. Biasalah budak-budak. Kerja nak main saja. Petang-petang bila dah balik, penat, nak tengok cerita kartun pun dah tak sempat. Jadi, aku pun memberontak, aku merajuk tak nak pergi sekolah.

Kasihan arwah papa aku, nak juga dia sekolahkan aku dekat situ, jadi dia temankan aku sampai petang. Kalau tak nampak papa aku, memang macam bangaulah kepala aku cari arwah papa aku. Tapi satu peristiwa berlaku. Cikgu aku dah bagitahu yang hari khamis sekolah habis awal iaitu pukul 2 petang. Aku pula lupa nak bagitahu papa aku. Apa lagi, 2 jam yang cukup menyeksakan duduk tunggu dekat sekolah seorang diri bagi seorang budak berumur 7 tahun macam aku ni. Papa aku sampai, aku naik kereta terus aku menangis. Waa, sangat manja rupanya aku ni.

Minggu depannya, papa aku datang awal pada hari khamis. Tapi masa tu hati aku dah tawar. Tak nak pergi sekolah dah dekat situ. Dekat seminggu aku merengek tak nak pergi sekolah. Akhirnya arwah papa aku mengalah. Dia masukkan aku sekolah dekat rumah sekali dengan abang aku. Barulah hati aku jadi tenang. Belajar pun seronok. Keputusan pun kira baguslah (Tak pernah dapat C tau. A dengan B saja aku dapat. Berlagak seh.hahahah). Memang aku suka belajar situ. Tak sampai tengah tahun belajar darjah satu, aku dah boleh membaca (tapi sekarang budak-budak tadika lagi dah boleh membaca).

Sampailah habis darjah 6, selepas dapat keputusan UPSR, arwah papa aku cuba pujuk balik aku masuk sekolah agama. Lepas puas di pujuk, akhirnya aku dihantar ke sekolah agama berasrama. 3 minggu pertama macam biasa "homesick" sikit. Kemudian lama-lama aku dah biasa. Sebenarnya seronok duduk asrama ni. Fikir belajar dan main saja. Hujung minggu boleh outing ataupun balik. Memang meriah habis. Tapi outing tak mainlah pakai baju batik, mana macho.Hahahaha

Kemudian selepas PMR, arwah papa aku pujuk lagi aku untuk masuk KISAS. Masa tu aku memang ngeri dengar nama sekolah tu sebab dengarnya elite sangat dan undang-undang ketat. Nak bercakap dengan muslimah pun kena duduk belakang tiang. Tapi kalau tak kenal, maka tak cinta. Sebenarnya di sanalah minda aku betul-betul terbuka. Niat untuk belajar di perbetulkan iaitu untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, tiada yang lainnya. Memang waktu sekolah, aku macam tak ambil berat sangat tentang tarbiah dan tazkirah ni, tapi bila dah keluar ke dunia sebenar, barulah aku tahu betapa pentingnya tarbiah dan tazkirah itu supaya aku lebih kenal dunia ni luar dan dalam.

Bila aku dah habis SPM, aku tanya arwah papa aku, "Papa hantar Affan di sekolah agama ni nak suruh Affan jadi ustaz ke papa?". Arwah papa aku senyum sambil berkata, "Papa tak kisah pun Affan nak jadi apa, tapi kalau Affan nak jadi ahli perniagaan pun, jadilah peniaga yang bertakwa, kalau nak jadi akauntan, jadilah akauntan yang bertakwa, kalau nak jadi peguam pun, jadilah peguam yang bertakwa, pelajaran agama itu adalah semata-mata untuk menjadi panduan kepada Affan dalam menjalani kehidupan di atas dunia ni." Aku dalam kabur-kabur, hanya mengangguk cuba berlagak faham (Kononnya dah matanglah kiranya). Jadi walaupun aku mampu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, tapi aku teruskan minat aku dalam bidang perakaunan. Mungkin dalam bidang ini aku boleh melihat keindahan Islam dengan lebih luas lagi.

Ya, aku sangat bersyukur menjadi diri aku sekarang ini. Mungkin aku ada banyak kekurangan, tapi hanya Allah saja yang boleh menutup kelemahan aku ni. Insyallah.

Selamat Hari Raya

Setelah sebulan kita menghadapi Ramadhan (yang telah dilalui dengan sia-sianya...alahai) maka saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga dengan raya ini akan membuka lembaran baru kepada hidup kita. Saya juga ingin khususkan ucapan raya saya kepada seluruh keluarga saya, sepupu sepapat, anak-anak sedara, anak-anak sepupu, cucu-cucu sepupu dan tak lupa juga ehem ehem  dan juga kepada sahabat-sahabat yang saya dengan ucapan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Kalau ada terlebih kata, terkurang ajar harap di maafkan segalanya. Taqabalallahuminna wa minkum...

Politik Melayu yang belum aqil baligh




Sejak akhir-akhir ni sibuk sangat. Banyak akaun syarikat yang perlu di audit. Tapi alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik, walaupun ada lagi kerja yang tertangguh.

Walau sibuk macamana pun saya tetap mengambil sedikit masa untuk mengetahui isu-isu semasa. Kalau tak sempat belek surat khabar sewaktu di pejabat, buka internet di rumah pun jadilah. Sekurang-kurangnya minda ini tidak tertutup. Tersumbat.

Tetapi apabila meniti dunia politik tanahair, hati jadi kelu. Jadi geram. Geram dengan perangai orang Melayu yang masih ramai belum matang berpolitik. Macam sudah menjadi budaya politik kita sebegitu. Terlalu bias. Kalau yang bercakap itu bukan dari kalangan mereka, maka perkara itu di tentang habis-habisan walaupun perkara itu ternyata memberi kebaikan. Jika sesuatu isu datang dari pihak mereka, maka akan di bela bagai nak rak. Bagai nak tercabut anak tekak.

Contohnya judi bola sepak. Kalaulah perkara ini dicadangkan oleh pihak Pakatan, saya jamin, benda ini akan berlarutan sampai Piala Dunia 2014. Tapi disebabkan perkara ini datangnya dari pihak Barisan, masing-masing membela atau menikus. Ulama di sana bagai tidak berani menegur.

Sama juga di pihak Pakatan, apabila orang bukan Islam dipihaknya kelihatan menafi hak orang Islam dan orang Melayu, meraka juga bagaikan menikus. Kecil seperti bakteria. Semuanya disebabkan mereka di pihak Pakatan.

Tentang perpaduan UMNO dan PAS, itu sebenarnya adalah retorik semata-mata. Tidak semestinya orang Melayu akan lemah jika UMNO dan PAS tidak bersatu. Tetapi yang menjadikan orang Melayu lemah adalah disebabkan orang Melayu tidak berpakat dan bersatu dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan Melayu. Saya sangat berharap sebenarnya supaya UMNO dan PAS supaya tidak bersatu kerana mereka sebenarnya adalah kuasa pengimbang. Masing-masing mempunyai peranannya sendiri.

UMNO akan hancur jika bersatu dengan PAS kerana PAS sudah tidak mampu lagi untuk menegur keburukan UMNO dan juga sebaliknya. Ini semua disebabkan oleh pemikiran "dia sek kita jadi kita mesti sokong walaupun salah". Pemikiran yang akhirnya akan merosakkan bangsa dan agama seterusnya.

Jadi ayuhlah bersatu dalam mempertahankan Islam, walau siapa kamu, kamu ada tanggungjawab yang tersendiri.

Review tentang Terengganu



Beberapa hari lalu aku baru balik dari negeri Terengganu atas urusan kerja. Bukan nak kata, walaupun Terengganu hanya sebelah saja dengan Kelantan, 5 tahun sekali pun susah aku nak pergi sana. Mungkin sebab aku tak ada saudara mara pun dekat sana. Jadi kalau pergi pun ternganga sajalah.

Setelah beberapa tahun lama tak menjenguk negeri penyu ni, aku perhati memang banyak pembangunan berjalan di negeri ni. Boleh dikatakan Kuala Terengganu adalah tempat yang baik kalau nak cari kedamaian. Keadaan kawasannya agak aman damai. Jalannya pada waktu tengahari puncak tidaklah sesesak Kota Bharu. Tapi memang diakui infrastruktur negeri Terengganu adalah antara yang terbaik. Bila masuk sempadan Besut pun, dah boleh rasa perbezaan dengan jalannya agak lebar dan rata. Tak hairanlah sebab negeri Terengganu antara negeri yang banyak mendapat hasil dari petroleum.

Pantai di negeri Terengganu juga agak terjaga dan bersih. Bandarnya juga bersih dan memang memang aku tak jumpa pun ada sampah berlonggok di mana-mana. Jadi, memang patut bandar Kuala Terengganu jadi Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Tapi dari segi pembangunan, aku rasa bandar Kuala Terengganu sedikit tertinggal dari Kota Bharu. Kebanyakan bangunan besar yang terdapat di bandar Kuala Terengganu hanya terdiri daripada bangunan Kerajaan dan pihak berkanun. Pasarayanya yang terkenal pula ialah Mydin Mall dan Giant. Jadi, rasanya Kuala Terengganu bukanlah tempat yang ideal untuk membeli-belah semata-mata seperti di Kelantan, tapi lebih kepada menikmati keindahan alam.

Tapi waktu malamnya penuh dengan kedai-kedai makan. Jalan di depan hotel aku menginap, walaupun tak panjang mana, tapi ada dekat 7 buah kedai makan. Tapi hairannya kedai runcitnya agak sedikit. 7 eleven juga tak kelihatan. Jadi bandarnya macam kelihatan sedikit mati pada waktu malam.

Masyarakat di sana juga agak mesra. Kedai makannya juga boleh tahan bersih. Thumbs up for Terengganu. Tapi aku memang tak berkesempatan lagi nak pergi Masjid Kristal. Lagi satu Muzium Terengganu adalah muzium terbesar di Malaysia. Aku pernah pergi melawat muzium tu sampai penat berjalan sebab dia ada banyak blok.

Itu saja pengalaman aku tentang negeri Terengganu. Kalau ada kau orang nak tambah, tambah saja dekat ruangan komen. Nanti aku editkan balik. calow

Phone Review


Baru-baru ni saya telah "tersambar" sebuah telefon nokia model 5800 Xpress Music. Setelah agak lama melakukan pemantauan harga dalam internet serta mengkaji serba sedikit tentang kekuatan dan kelemahan telefon ini, saya mengambil keputusan untuk membelinya.

Harga bagi waranti AP adalah RM704 dengan memori kad 1GB. Saya sebenar agak keberatan untuk membeli telefon yang agak canggih dengan waranti AP. Setelah berfikir berkali-kali, saya pun mengambil keputusan untuk mengambil waranti Zitron dengan tambahan RM100. Jadi setelah di tambah memori kad kepada 8GB, harganya semua sekali RM844 (terbang melayang duit aku).

Setelah beberapa hari menggunakan telefon ini, saya boleh katakan bahawa telefon ini antara yang "munasabah"dalam pasaran sekarang walaupun model ini telahpun dikeluarkan sejak Oktober 2008. Pembesar suara yang mempunyai fungsi Bass booster memang sangat menjadi. Bunyinya ternyata lebih padu lagi-lagi bila dipasangkan lagu jazz dan R&B.

Dengan hampir semua perisian terkini boleh di muat turun, menjadikan anda pasti tidak cemburu melihat perisian yang berada di dalam internet. Saya pun awal-awal lagi telah memuat turun perisian GPS Garmin dalam telefon Nokia ini. Perisian GPS Garmin pula sangat berfungsi dengan baik melalui telefon ini walaupun sistemnya kadang-kadang menunjukkan jalan yang agak jauh dari kebiasaan. Selain itu, perisian Skype juga antara perisian yang wajib bagi telefon ini.

Sistem skrin sesentuhnya juga berfungsi dengan baik. Walaupun agak kekok untuk menaip mesej pada permulaan penggunaannya, lama kelamaan anda pasti akan seronok untuk menaip kerana skrinnya yang agak sensitif. Sistem wi-finya juga berfungsi dengan baik serta mampu mencapai wireless yang agak jauh.

Namun begitu, jika anda tidak suka kepada telefon yang agak tebal, rasanya telefon ini bukan untuk anda. Baterinya juga cepat habis menyebabkan anda hampir terpaksa mengecajnya setiap hari. Kameranya yang mempunyai resolusi 3.2 megapixel hanya bertindak cemerlang dengan cahaya yang terang atau outdoor, tapi menghampakan apabila berfungsi di tempat yang kurang cahaya. Telefon ini juga sepenuhnya berfungsi dengan skrin sesentuh. Jadi bagi peminat butang, telefon ini juga bukan untuk anda.

Tapi jika anda tidak dengan semua itu, telefon ini sangat berbaloi untuk dimiliki. Dengan harganya pasarannya yang agak rendah sekarang berbanding pembukaan produk ini (RM12++.++), anda pasti tidak menyesal untuk memiliknya.

Salesman

A few days ago, after off from office hour, i just wanted to walked away home. After a hard killing brain, i think i should have some rest or get release with some walk at park.
Suddenly, my clerk came and asked me to talk with a foreigner salesman outside. Because I know my clerk has some problem with her English, so i just went out and see the salesman.
And there was standing a man, a Kashmir guy, but not like a typical Kashmir people, he wore long sleeve and khakis. Without any cover or cap on his head.

He showed me some calligraphy from Holy Qurán. It's very beautiful with the shining and striking colour. I was quite surprise to know that it cost RM20 per piece. Ok, I 'm not a stingy, just because I really in short of money, I think it is too expensive for me.

Then i try to bring the arts in my office to asked my colleagues whether they were interested with them. As usual, they just interested with the arts, but not with the price. So,  I returned it back to that salesman.

But, something get wrong. He tried to force me to take two pieces of that arts with total price RM40. Without opening my wallet, as I know nothing in there, I try to decline. Plus with his English could be categorize as poor, really get me dizzy. But suddenly I asked the Kashmir guy.

"I just love with all of these calligraphy, but sorry for asking. I don't think all this verses should be hang on the wall, especially with ayat 1000 dinar. Some people believe to hang this ayat, so you will able to get rich. I think, the beauty of this ayat not because it just to hang on the wall, but how we implement this ayat.

As you know not all people, especially in Malaysia know Arabic, I think nobody can get rich with just hanging this on the wall. Or you will never get rich just because you read the ayat, but how you implemented Allah's teaching. But I do agree that Ayat Kursi can avoid your from evil and iblees, but not with just hanging it on the wall, but of course with your reading."

Then the salesman said, "It is all about each Muslim understanding". Then, I just try to agree with him even in my heart, I know with hanging ayat on the wall, it can get you to a syirik, which is a forbidden sin in Islam.

This story not because I wanted to tell how to avoid from salesman, but how we really implement our knowledge about Islam. To avoid from any syirik, is really not a choice.

Aku Benci Mat Rempit

Cerita pasal mat rempit ni dah pernah saya tulis sekali. Tapi sekarang tangan saya gatal lagi nak tulis pasal ni. Maaf kepada siapa-siapa yang terasa. Anggap teguran saya ni nasihat dari seorang teman yang menyayangi teman yang lain. Saya rasa, bukan setakat penagih dadah perlu disumbat ke pusat serenti, tapi mat rempit ni pun sepatutnya di masukkan ke pusat pemulihan bagi mat-mat rempit.

Kejam? Rasanya tak.

Tapi siapa yang kejam bila bawa motosikal laju-laju tak cukup tanah di jalan awam? Siapa yang kejam bila lampu belum nak bertukar hijau dah berdesup pergi sampai kereta yang datang hampir terbabas? Siapa yang kejam bila mat rempit yang langgar lampu merah tapi bila kena langgar kereta, pemandu kereta kena pukul ramai-ramai? Siapa yang kejam berlumba di jalan raya bertaruh dengan duit dan bohsia? Siapa yang kejam bila mat rempit guna motor yang diberi mak bapak untuk pergi sekolah tapi selamba pula ponteng dengan motor tersebut? Siapa yang kejam bila mat rempit buat aksi willy di tengah-tengah jalan yang sibuk dan pada masa yang sama pemandu  lain bawa anak-anak bersama dalam kereta? Kalau kereta terkejut sampai mengorbankan anak-anak yang kecil, siapa yang bersalah?

Mungkin tak kejam sangat kepada kita, tapi kasihankan generasi kita ini. Tiada Mat Rempit selain dari orang Melayu, tiada Mat Rempit selain yang beragama Islam. Kalau ada pun boleh dibilang dengan gigi.

P/S: Geram nak sondol mat-mat rempit dengan bulldozer. Angkut dan bubuh dalam tong sampah saja semua. Bangsa maju, tapi mindanya kelas ketiga bawah.

Kenapa ada orang Kelantan berpuak-puak?



Kelantan sebagaimana yang kita tahu antara negeri yang paling ramai di huni oleh orang Melayu iaitu hampir 95% dari keseluruhan penduduk. Kebanyakan penduduknya adalah peniaga, petani, dan juga nelayan dan kebanyakan berkhidmat di sektor awam.

Walaupun kebanyakan IPTA-IPTA  di negara ini di dominasi oleh Kelantan, tapi masih ramai orang Kelantan yang nampak macam malas nak bergaul dengan pelajar yang datang dari negeri lain. Sebab itu selalunya orang Kelantan nampak macam terlalu asabiyah atau berpuak-puak dan hanya ingin bergaul dengan sesama mereka saja.

Walaupun ramai yang cakap orang Kelantan ni terlalu sombong atau megah dengan negeri sendiri sampai tak mahu nak berkawan dengan orang negeri lain, sebenarnya pandangan tu agak silap. Walaupun penggunaan istilah "sek kita" terlalu menebal dalam diri rakyat Kelantan, sebenarnya itu bukanlah faktor yang utama berlaku budaya berpuak-puak dalam negeri Kelantan.

Orang Kelantan sebenarnya sejak kecil di besarkan berkomunikasi dengan loghat Kelantan, yang kebanyakan bunyinya agak berbeza dengan negeri lain. Berbeza dengan loghat-loghat lain seperti loghat Utara dan Perak, loghat Kelantan agak jauh berbeza dengan Bahasa Melayu standard. Hampir setiap segi kehidupan loghat itu di gunakan sehingga ke sistem persekolahan sekalipun. Jadi ini menyebabkan orang Kelantan agak pemalu untuk bergaul dengan orang dari negeri lain, lagi-lagi dari negeri yang memaksa mereka bercakap "luar".

Oleh itu, apabila penduduk Kelantan yang mendapat keputusan yang cemerlang melanjutkan pelajaran ke IPTA di negeri-negeri lain, mereka hampir terpaksa menukar sama sekali loghat pertuturan mereka,(yang mana perumpamaan susahnya macam suruh orang asli cakap orang putih). Bagi yang cuba untuk "bercakap luar", selalunya mereka boleh bergaul dengan baik pelajar-pelajar dari negeri lain.

Tapi yang kategori berat atau "lidah keras" untuk mengubah serba sedikir pertuturan, menyebabkan mereka agak pemalu untuk bergaul dengan orang lain. Di tambah dengan pelajar negeri lain yang tak pernah dengar dan tak faham loghat Kelantan, lagilah si "lidah keras" ni malu untuk berkomunikasi. Dan perkara inilah yang mendorong pelajar dari negeri Kelantan lebih suka untuk bergaul dengan sesama mereka, untuk semata-mata memudahkan komunikasi sesama mereka. Itu saja.

Walimatul Urus


Sejak akhir-akhir ni memang ramai kawan saya yang berpeluang untuk membina masjid. Saya hanya tumpang gembira dan berdoa semoga jodoh mereka sentiasa berpanjangan dan dirahmati Allah serta mendapat keturunan yang baik-baik serta solehin.

Majlis perkahwinan pun agak meriah dengan bermacam-macam perkara di buat seperti di buat kain rentang serta di pasang lagu-lagu perkahwinan demi merancakkan lagi majlis perkahwinan tu. Kalau saya yang lelaki ni, tak kisah sangat. Sampai saja depan rumah, lepas bersalam dengan tuan rumah terus di tariknya pinggan dan gelas, janji perut kenyang.

Setakat ini alhamdulillah, mungkin di sebabkan kebanyakan ramai kawan-kawan yang berasal dari sekolah agama, jadi majlis perkahwinan itu tidaklah terlalu melampau serta terlalu ekstrem membazirnya. Lain pula di sesetengah tempat yang mengadakan majlis perkahwinan yang terlalu melalaikan. Sehingga di adakan joget lambak, karaoke dan konsert.

Bagi saya majlis perkahwinan adalah satu majlis yang terlalu mulia untuk untuk diletakkan acara yang tak berfaedah. Majlis ni sangat besar ertinya iaitu untuk menyambut satu pasangan untuk melangkah ke satu alam yang baru. Satu alam bagi menghasilkan zuriat yang baik serta mengembangkan lagi umat Islam di dunia ini. Jadi ia adalah satu alam yang memerlukan tanggungjawab, kesabaran dan tolak ansur. Dan sudah tentu alam itu memerlukan kepada iman yang kukuh serta bimbingan agama yang tinggi. Jadi, bagi meraikan sambutan ke alam satu lagi, tentu sambutan itu merupakan satu majlis yang diredhai, tak ada maksiat dan di tanam dengan sifat-sifat murni seperi kesederhanaan, bantu membantu serta meningkatkan iman dan taqwa.

Bagi saya tidak salah untuk bergembira pada hari perkahwinan kerana sememangnya itu adalah hari yang menggembirakan. Tapi unsur-unsur yang ditolak agama, seperti percampuran bebas antara lelaki dan wanita dalam tarian lambak contohnya, hendaklah di tentang sama sekali.

Sekadar nasihat untuk diri sendiri, di masa depan, takut-takut saya pula yang terlebih-lebih. Nauzubillah.

Daripada doa yang di ajar oleh Rasulullah s.a.w kepada pengantin yang melangsungkan perkahwinan.
Baraka Allah lakuma wabarokah alaikuma,  wajamaá bainakuma fii khair.

Novel ku

Baru-baru ni rasa macam bosan sikit. Minda rasa kosong. Tak banyak perkara yang boleh dicerna dalam kepala otak ni. Sesuatu perlu di lakukan agar otak ni tak jadi semakin beku dan terus tak mampu nak berfikir dengan kritis. Apalah lebihnya umat Islam kalau tidak mampu untuk terus berfikir dengan kritis.

Jadi untuk mengurangkan kadar stress, saya meronda-ronda di kedai buku Muda Osman. Niat sebenar nak cari buku cara mudah belajar bahasa Arab macam yang selalu keluar iklan di radio IKIM, tapi tak jumpa-jumpa. Mungkin tak ada di SMO. Belek punya belek jumpalah satu buku bertajuk "Bagaimana Islam Memerintah Negara" karangan Ustaz Abdul Hadi Awang.

Jangan salah sangka, saya bukannya gila nak berpolitik, tetapi saya cuma nak baca aspirasi seorang Ustaz yang bersungguh-sungguh hendak menjadikan Malaysia sebagai negara Islam (Walaupun sesetengah orang kata Malaysia memangpun negara Islam). Lepas di selak-selak, memangnya tak ada unsur-unsur politik kepartian di dalam buku ini. Memang buku ni betul-betul nak terangkan apakah negara Islam, kenapa negara Islam perlu ditubuh dan prinsip-prinsip yang ada dalam sesebuah negara Islam.

Dalam buku ini walaupun rasa macam mustahil dan jauh sangat dari kita, contoh seorang pemimpin yang menolak untuk memegang sesuatu jawatan, tapi apabila dipegang amanah tersebut, terus di jalankan secara adil dan saksama, tapi tidak mustahil itu berlaku. Maaf kalau terkasar bahasa, saya langsung tak rasa pemimpin kerajaan yang ada sekarang beramal dengan apa yang telah diterangkan dalam buku ini. Pendek kata, masih terlalu banyak perkara yang perlu ditegur dan dibaiki untuk mencapai standard sebuah negara Islam yang tulen.

Bagi siap-siapa yang masih tak tahu apa beza negara Islam dengan negara sekular, bolehlah cuba dapatkan buku ini.  Baru kita sedar, betapa besar bezanya.

Blog yang Bersawang



Rupa-rupanya dah bersawang blog ni. Dah lama ia tak diconteng supaya mampu membazirkan masa orang untuk membacanya. Macam nilah bila saya dah mula kerja, minda pun macam dah tak berkembang, kecut saja. Mungkin kena rendam air, supaya boleh kembang dan senang dibilas macam periuk nasi.

Cerita politik, memang banyak yang boleh di bincang, tapi hal semasa nampaknya lagi menarik. Dari hal kahwin dengan budak 11 tahun sampailah cerita buaya gigit kaki orang masa main golf (buaya ni mungkin tengah cari harimau kot *Tiger Wood*).

Cuma bila belek suratkhabar, cerita yang paling tak menarik dan menyakitkan hati ialah pasal fakir miskin yang tua, beragama Islam hidup papa kedana, makan nasi dengan budu, berulamkan daun jambu.  Memang boleh naik angin bila baca. Macamana boleh tak naik angin, Baitulmal dengan bangga guna duit zakat untuk bagi kepada NGO-NGO Islam, dengan tujuan untuk sebarkan dakwah, walhal tujuan sebenar zakat itu untuk diberikan terus kepada asnaf yang layak.

Saya bukanlah anti-dakwah, anti-tabligh, Islam Liberal, sekular atau yang sama waktu dengannya. Tapi bila saya fikir betapa syumulnya Islam, yang telah menfardhukan zakat kepada seluruh Muslim supaya membantu saudara-saudara yang kesempitan, saya rasa pengurusan zakat telah melakukan kesilapan besar. Apalah yang hendak dibanggakan dengan kutipan zakat yang besar-besar, tapi pembahagiannya entah apa-apa.

Sepatut badan zakat sudah ada pusat hidrolisis sendiri (pusat bagi pesakit buah pinggang), sudah ada pusat rawatan HIV sendiri, tapi akhirnya pusat-pusat itu dibuka oleh badan-badan yang beragama lain, di mana pengunjungnya ramai orang Islam yang tidak berkemampuan. Jadi, di mana pengurusan zakat terbaik yang diwara-warakan? Islam awal-awal lagi telah mengenalpasti kemiskinan adalah satu perkara yang perlu di basmi dengan diadakan zakat, tapi orang Islam nampaknya masih gagal nak memahamkan falsafah tu.

Hajat yang tidak kesampaian


Ayah saya pulang dari kerja. Saya yang baru darjah 1 terus memeluk ayah.  Saya mengintai-ngintai di dalam kereta, tercari mainan yang saya inginkan. Ayah saya kata dia lupa hendak belikan. Saya terus berlari ke bilik dan menutup pintu. Esoknya ayah saya pulang lagi dari kerja, sambil membawa mainan. Tak sampai dua hari, mainan tu sudah pun patah.

Saya merengek-rengek meminta ayah membelikan jam tangan. Saya mengimpikan sebuah jam tangan digital. Ayah saya hanya mendiamkan diri. Selepas balik dari masjid, bapa saya menghulurkan bungkusan. Seutas jam, tapi jam yang berjarum (analog), saya hanya pakai sekali dan selepas itu disepahkan merata-rata.

Darjah 5, saya menginginkan sebuah basikal. Saya merengek-rengek meminta. Akhirnya, ayah saya belikan kepada saya sebuah basikal. Habis darjah enam, basikal itu ditinggalkan di bawah garaj, dibiarkan berkarat. Akhirnya ayah saya memberikan kepada orang lain.

Tingkatan 5, ayah saya datang ke sekolah untuk hari bersama guru dan bapa. Ayah saya diam mendengar bebelan guru yang mengatakan saya sangat malas belajar serta keputusan peperiksaan yang sangat teruk. Pertama kali saya melihat air mata ayah saya mengalir, tetapi pantas di kesat.

Ayah saya di katil hospital, dan saya menunjukkan borang tawaran ke universiti. Ayah saya tersenyum dan menyuruh saya belajar dengan bersungguh-sungguh. Seminggu selepas mendaftar di universiti, ayah saya meninggalkan saya selama-lamanya.

31 Januari 2010: Mendapat gaji pertama selepas mendapat kerja, betapa dahulu saya berjanji kepada ayah yang saya akan membelikan segala-gala yang diminta apabila mendapat gaji pertama saya. Tapi, semua itu tidak mungkin akan berlaku.Ya, saya sudah tidak terdaya untuk menulis lagi. Al-Fatihah..

Targetku


Kerja makin banyak. Tambah lagi dua, tiga tempat lagi yang nak kena di audit. Dengar memang sibuk, tapi memang tulah kehidupan di firma audit. Lagi-lagi kalau awal tahun. Tapi bila tak ada kerja tu, memang betul-betul tak ada. Sampai boleh bosan dan banyak buat "ketupat" bila masuk pejabat.

Saya pula dapat client yang bermasalah. Nak suruh hantar fail akaun pun susah. Macamanalah nak buat kerja kalau macam ni. Saya perlu kerja. Memang saya tahu, dengan gaji yang seciput ni, saya nak buat kumpul duit kahwin pun tak lepas. Tapi itulah pengorbanan. Saya boleh minta di tempat kerja yang tawarkan gaji yang lebih tinggi, tapi demi untuk sesuatu yang bernama "pengetahuan", terpaksalah saya bermula dari bawah. Semoga target saya tercapai.

Politik yang @#$%

Politik, bertujuan untuk membela rakyat. Tapi bila politik menganiayai rakyat, macamana? Jika hak dinafi, peluang bersuara ditutup, agama makin di cabar, terlalu menjaga hati orang lain yang akhirnya memudaratkan bangsa dan agama, jadi di mana akhirnya politik ini?

Sakit hati melihat si politikus berpura-pura, boleh jadi si kaki botol dan penari dangdut, dalam masa yang sama boleh cakap pasal agama. Merayu rakyat marhain berjimat cermat, tukar cara hidup, tapi mereka? Majlis hari jadi anak-anak pula besar bagai raksasa. Oh, betapa aku impi kisah Saidina Umar r.a. berulang lagi....

Jarum penimbang yang tak bergerak-gerak



Tadi saya baru lepas timbang berat badan saya. Hai, masih lagi di takuk lama. Jarum tak bergerak sedikit pun. Mungkin perlu usaha lebih. Mungkin dari 3 pusingan taman berjogging, perlu ditambah 20,30 pusingan lagi (alamatnya sampai ke ICUlah aku)

Gelora nafsu saya di pejabat kadang-kadang tak mampu di tahan. Minum petang dengan kuih yang menyelerakan, memang betul-betul membuat hati tergoda. Di tambah pula dengan kebanyakan kuih-kuih yang bergoreng, lagilah menarik laju saya ke pinggan kuih. Kuih cek mek (kuih tradisi Kelantan), karipap sardin, keropok lekor dan cucur pisang seperti memanggil-manggil apabila di hidang.

Saya terbaca satu artikel, kebanyakan orang yang makan, bukan disebabkan mereka lapar, tapi disebabkan mereka hanya saja-saja mahu makan. Terkena atas kepala sendiri. Adoiiiii!!!

Sahabat yang hebat



Seribu tahniah kepada sahabat-sahabat, Imran Koyube dan gengnya tabloid "IluvIslam" memang sangat dinanti peminat-peminatnya. Memang kamu semua orang yang hebat. Bermula hanya dari perbincangan, kemudian berkembang menjadi semakin gah. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Itulah lumrah alam. Ada sahabat yang duduk terlalu tinggi sehingga tidak tercapai walhal hujung sepatunya sekalipun. Tetapi ada pula sahabat yang jatuh ke lubang yang terlalu dalam hingga walau dihulur tali yang berkilo-kilo meter panjangnya pun tak dapat dicapai mereka dek kerana terlalu mengikuti hawa nafsu.

Tapi kita di sini teruskan usaha yang kecil ini (mungkin langsung tidak dipandang hujung mata sekalipun). Umpama burung kecil yang membawa air ke dalam mulut sewaktu cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim a.s., walaupun tidak mampu memadamkan api yang marak itu, tetapi usaha itulah yang dijadikan bekalan bila disoal di akhirat kelak.

So sorry

Saya memegang prinsip, "Jika anda tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat, jangan pula anda memberi kesusahan kepada mereka." Maksudnya jika kita rasakan kita tidak mampu untuk menjadi insan yang baik, serta sempurna (mungkin juga seorang yang warak), tetapi jangan pula kita cuba untuk menyesatkan orang lain. Mungkin kita yang malas solat (nauzubillah), tapi jangan halang orang lain untuk bersolat atau mempersendakan rakan yang baru berjinak-jinak untuk solat. Jika seseorang menderma kepada orang miskin, jangan pula kita mengejek atau mempersenda (kononnya mungkin mereka hanya ingin menunjuk), tetapi doakan semoga mereka mendapat kebaikan yang melimpah hasil amalan mereka.

Rasa bersalahlah kepada kepada diri kalau ejekan kita itu akan membuatkan orang lain untuk berhenti melakukan kebaikan.

Tidak rugi kita berbuat baik, tapi kita pasti akan menyesal jika melakukan keburukan.

Penyakit

Harga gula dah naik sikit. Tak banyak mana pun. Hanya 20 sen. Rasanya tak perlu peniaga nak sibuk-sibuk naikkan harga air teh panas. Tapi nak untung punya pasal, macam-macam boleh jadi. Padahal teh panas dah sampai harga seringgit pun satu gelas kecik, kalau naik lagi, terpaksa pesan air kosong sajalah nampaknya. Pening-pening.

Lagipun bagus rasanya harga gula naik pun, mungkin, insyallah (walaupun kita tahu orang Malaysia ni jarang minum tawar-tawar) boleh mengurangkan penyakit kencing manis. Serius, penyakit kencing manis ni memang menakutkan. Rasanya sama bahaya dengan kanser. Kalau kanser payudara, kalau dah tahap kronik kena potong payudara, kalau kencing manis, boleh sampai potong kaki sampaikan dengan betis-betis pun hilang.

Darah tinggi pun lebih kurang sama, kalau dah sampai tahap kronik, memang boleh pitam. Masalahnya penyakit-penyakit ni boleh pergi ke jantung, buah pinggan dan angin ahmar. Kalau dah berangkai macam tu (kalau masyarakat kita, cukup satu pakej), memang terpaksa makan ubatlah sampai akhir hayatlah jawabnya.

Jadi, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan. Kurangkan makan nasi, banyakkan sayuran (padahal sayur banyak yang disembur racun perosak serta memudaratkan), kurangkan makanan segera, kurangkan gula dan selalu bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu (cheewah, macam doktor pula aku). Apa lagi yang saya nak cakap ni, dan jangan lupa senyum-senyum selalu. Tenangkan fikiran, selalu cuba mendekatkan diri kepada Tuhan dan hormati sesama manusia (walaupun manusia sekarang tidaklah sesopan mana).

Si tangan kacang

Jika kamu sedia meminta, kenapa tidak aku sedia memberi? Jangan di tambah luka di hatiku lagi. Betapa aku telah lihat betapa banyak mutiara yang telah tumpah disebabkan kamu. Jangan kamu biarkan ia berlaku lagi.

Mungkin kamu melihat aku tenang, tetapi didadaku hanya api yang menyala. Bukan tidak sudi memberi, tapi pemberianku mesti disertai dengan rasa hormat. Apa salah meminta izin? Bakhil sangatkah aku?

Walhal telahku tahu masa silammu, betapa orang yang ku sayangi menangis keranamu, tolonglah jangan lakukannya lagi. Jika kamu tidak mahu menyesal selama-lamanya.

Melangkah ke satu tahap


Masuk hari ni dah 4 hari saya mula bekerja. Memang rasa bertuah sebab boleh sambung kerja di tempat praktikal saya dulu. Jadi, tak perlu gunakan masa yang banyak untuk mengenali pekerja-pekerja di sana yang sememangnya sangat baik(Ini bukan bodek tahu).

Bila bekerja, walaupun di tempat praktikal dahulu, tekanannnya boleh dikatakan sangat berbeza. Dulu, sewaktu masih pelatih praktikal, bila tak ada kerja, rasa macam indahnya dunia. Tapi bila sudah bergelar pekerja, tak ada kerja bagai nak runtuh bangunan. Seksa sangat. Rasa malu kalau-kalau digelar makan gaji buta. Bukan salah saya yang tak buat kerja, tapi masalahnya pelanggan yang belum hantar fail-fail akaun mereka. Jadi kerja saya sehari-hari hanya membelek semula fail-fail lama pelanggan, kaji semula apa masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat pelanggan.

Harap-harap cita-cita saya akan tercapai hendaknya. Mungkin di lihat sekarang sangat jauh, tapi rezeki Allah, mana kita tahu. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk. Insyallah

Merebut nama Allah atau merebut akidah?

Saya sebenarnya berfikir panjang untuk menulis tentang isu ini. Isu yang agak berat ini sudah tentu harus diteliti dengan mendalam dan harus dilihat dalam pelbagai aspek. Isu penggunaan nama Allah ini ternyata menimbulkan rasa kurang senang hati dikalangan umat Islam di negara kita.

Saya sebenarnya tidaklah begitu menolak dan tidak terlalu menerima keputusan mahkamah baru-baru ini. Saya melihat bahawa penggunaan nama Allah dalam agama Kristian adalah satu rahmat. Sebab betapa ramai orang Kristian yang tertarik dengan Islam apabila mereka mengetahui kita juga mempercayai Nabi Isa, cuma dari konteks hanya seorang nabi. Mungkin apabila kalimah Allah digunakan, mereka sendiri pula yang tertarik kepada Islam.

Tetapi kebimbangan kita untuk mengelakkan kalimah Allah mungkin disalahgunakan untuk tujuan penyebaran agama Kristian juga ada asasnya. Sehingga kita pernah digemparkan dengan adanya tulisan khat yang bertulis tentang kepercayaan agama Kristian. Ada juga petikan-petikan Bible yang diganti perkataan Tuhan kepada Allah yang tampak seperti potongan ayat Al-Qurán.

Bagi tujuan pencerahan, kita sendiri harus tahu, perkataan Allah adalah perkataan yang unik. Allah itu sendiri menunjukkan satu, Esa, jadi Allah tidak boleh ada dalam konsep triniti. Kalimah Allah juga tidak boleh menjadi Allah Bapa, Allah Ibu atau Allah Abba atau Allah Ummi kerana bersalahan dari segi kaedah bahasa Arab itu sendiri. (kita sedia maklum kalimah Allah berasal dari bahasa Arab)

Saya sebenarnya melihat bahawa isu ini menjadi besar disebabkan kerana kegagalan umat Islam di negara kita untuk memberi kefahaman yang sebenar kepada orang Islam lain dan juga bukan Islam. Kita sepatutnya berasa sangat sedih sebab berapa ribu sangat orang Cina yang memeluk Islam walaupun kita sudah 52 tahun merdeka? Berapa ramai lagi orang Melayu yang menganggap apabila memeluk Islam perlu berkain pelikat dan berbaju Melayu, walhal Islam adalah universal dan bukan untuk orang Melayu sahaja. Ini menunjukkan bahawa pengetahuan kita sendiri tidak mampu menonjolkan sifat-sifat keislaman yang sebenar.

Kita juga boleh lihat, berapa ramai orang Islam yang bersembahyang dan berpuasa, tetapi masih berjumpa bomoh untuk mendapatkan pertolongan daripada jin. Berapa ramai lagi orang Islam yang mempercayai bahawa bunyi burung hantu adalah petanda kematian. Berapa ramai lagi percaya bahawa gatal tapak tangan kanan tandanya kita akan mendapat rezeki. Dan yang paling popular, apabila ada rama-rama masuk ke rumah, itu tandanya ada tetamu hendak datang. Apa pandangan bukan Muslim apabila lihat kita mempercayai perkara-perkara sedemikian? Sudah tentu mereka berkata, orang Islam sama saja macam kita, tak ada beza mana pun. Walhal agama Islam itu diturunkan untuk membebaskan manusia dari karut-marut serta kejahilan menusia tentang dunia.

Hairannya, kita sedia untuk berdemonstrasi bagi menghalang agama lain dari menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka, walaupun perkara itu tidak menyalahi nas, tetapi di mana kita bila adik-beradik kita yang beragama Islam masih ramai yang percayakan bomoh, meminta pertolongan dengan makhluk halus. Di mana kita bila ramai anak-anak muda Islam kita yang mabuk di kelab-kelab malam dan membuat maksiat di sambutan tahun baru? Apa peranan kita bila ada artis yang mengatakan mereka berpakaian seksi untuk mencari rezeki yang halal? Di mana ada demonstrasi yang menghalang anak-anak muda dari terpengaruh dengan Black Metal? Kenapa tidak kita meminta peruntukan dalam undang-undang negara untuk menangkap anak-anak muda yang terpengaruh dengan Punk, Skin Head dan Black Metal?

Susah bila semua beban diletakkan di atas Pihak Agama Islam, tetapi peranan sendiri, terus kita abaikan. Semut di seberang laut dibuka, gajah di depan mata, terus buta.